Seorang rakyat Malaysia yang pernah ditahan di Thailand kerana disyaki memiliki dadah berkongsi pengalaman
serta keadaan ketika dipenjarakan di Penjara Narathiwat selama sembilan bulan pada tahun 2015.
Dalam sesi siaran langsung di TikTok Abe Mung Jahit, dia, yang dikenali sebagai Zul, 42, berkongsi
bahawa kira-kira 280 penghuni ditempatkan dalam satu unit yang hanya berkeluasan seperti dua bilik darjah.
Difahamkan, Zul ditahan bersama sembilan rakannya di sebuah hotel di Golok kerana memiliki dadah jenis syabu, namun jumlah yang tepat tidak dinyatakan.
“Antara yang berbeza dengan penjara di Malaysia ialah di sana, banduan dilepaskan setiap pagi pukul 7 bergantung pada sebab tertentu. Kita akan bertemu semua jenis orang, baik yang tua atau muda. Kes berat seperti bunuh dan senjata api, mereka semua dilepaskan sekali,” katanya.
Menurut Zul, walaupun berdepan pelbagai jenis banduan, keadaan di Penjara Narathiwat adalah bersih dan terurus.
Antara pengalaman paling ngeri yang dialami Zul ialah melihat seorang banduan ditikam di bahu ketika berlaku pergaduhan.
“Di dalam ini, senjata juga ada. Dari sekecil-kecil jarum hingga sebesar kapak, semuanya boleh ditemui. Sebab itu, banduan yang melakukan kesalahan serius di luar biasanya diasingkan,” jelasnya.
Zul juga menyatakan bahawa dia hanya menghadiri perbicaraan kesnya secara dalam talian dan hanya dibawa ke mahkamah ketika keputusan hukuman dijatuhkan.
“Semasa kes saya berjalan, setiap 12 hari sekali kami perlu duduk di hadapan skrin untuk berbicara dengan mahkamah. Apabila tiba waktu untuk keputusan hukuman, barulah kami dibawa ke mahkamah,” ujarnya.
Zul akhirnya dibebaskan dari Penjara Narathiwat pada September 2015 setelah menang kes tersebut, berikutan salah seorang rakannya mengaku dadah itu miliknya.
“Selepas salah seorang daripada kami mengaku dadah itu miliknya, kami sembilan orang yang lain perlu meneruskan perbicaraan untuk membuktikan tidak bersalah.
Rakan yang mengaku itu dijatuhkan hukuman penjara empat tahun enam bulan. Jika kami kalah, mahkamah mungkin akan beri hukuman dua kali ganda, iaitu sembilan tahun penjara.
“Oleh itu, penting untuk memilih peguam yang benar-benar faham dengan kes kita,” tambahnya.
Zul berharap kisahnya dapat menjadi iktibar dan pengajaran kepada orang ramai, terutamanya golongan muda.
BACA: “Hadi patut berehat dah tapi pengikut dia duk angkat dia ke tahap dewa” – Nakhaie