Apa hukum dapat kerja guna ‘kabel’

Oleh ISMAIL YAHYA

Budaya menggunakan ‘kabel’ atau kroni untuk mendapatkan pekerjaan sering berlaku dalam masyarakat kita, khususnya dalam dunia pekerjaan.

Dari sudut pandang Islam, perbuatan ini boleh dilihat dari dua perspektif yang berbeza.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’, ayat 85 menyatakan:

“Sesiapa yang memberikan syafaat yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya;

Dan sesiapa yang memberikan syafaat yang buruk, nescaya ia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya.

Apa hukum dapat kerja guna ‘kabel’

Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaili, syafaat atau pertolongan terbahagi kepada dua kategori: syafaat yang baik dan syafaat yang buruk.

Syafaat yang baik melibatkan bantuan yang diberikan dengan niat ikhlas, tanpa sogokan atau rasuah, untuk melindungi hak-hak orang lain atau mendorong kepada kebaikan.

Pertolongan sebegini dibenarkan dalam Islam, kecuali jika digunakan untuk meringankan hukuman hadd atau melanggar hak orang lain.

Sebaliknya, syafaat yang buruk adalah bantuan yang melibatkan wang atau harta bagi menafikan hak orang lain atau merugikan mereka.

Contohnya, jika bantuan diberi kepada seseorang untuk mendapat pekerjaan dengan cara menafikan peluang orang lain yang lebih layak, ini adalah pertolongan yang buruk dan dilarang.

Perspektif pertama yang dibenarkan adalah meminta bantuan dari kenalan untuk memudahkan urusan tanpa menafikan hak orang lain. Misalnya, majikan memilih pekerja berdasarkan niat untuk membantu mereka yang dalam kesusahan.

Perspektif kedua, yang haram, adalah menggunakan ‘kabel’ dengan cara memberi wang atau harta untuk memperoleh sesuatu.

Menurut Muhammad Soleh al-Munajjid, jika bantuan dalam pekerjaan menyebabkan hak orang yang lebih layak diabaikan, ia adalah haram. Ini kerana ia menzalimi mereka yang lebih kompeten, menghalang potensi diri individu yang layak, dan menyemai sifat dengki serta budaya kerja tidak sihat.

Dalam hadis, Imam Nawawi menjelaskan bahawa orang yang menzalimi hak orang lain akan menerima balasan buruk dari Allah SWT. Berdasarkan penjelasan di atas, boleh disimpulkan terdapat dua jenis ‘kabel’:

Kabel yang dibenarkan: bantuan yang ikhlas untuk individu yang berkompeten.

Kabel yang diharamkan: bantuan dengan sogokan atau pilih kasih tanpa kompetensi, yang menzalimi hak orang lain dan merosakkan masyarakat.

Justeru, hanya pertolongan yang tidak menafikan hak orang lain dan berdasarkan kelayakan dibenarkan dalam Islam.

BACA: Siapa sangka ‘beri signal’ mampu buat jalan tak jem, ini sebabnya