Memang halal, tak perlu runsing dan was-was. Lagi pula, di kawasan Selatan Thailand ini,
mereka mengasingkan dapur antara orang Islam dan bukan Islam.”
Itulah respons seorang lelaki apabila ditanya oleh orang ramai mengenai status halal makanan untuk banduan di penjara Thailand.
Menurutnya, yang mendakwa memperoleh maklumat tersebut daripada kenalan yang bekerja
sebagai tentera dan polis, zon untuk kedua-dua kategori itu memang berbeza walaupun makanannya tidak sesedap seperti di luar penjara.
“Bukan sahaja di penjara, di Thailand ini kalau anda masuk askar atau polis pun, semasa latihan mereka juga asingkan dapur dan tukang masak.
“Jadi, tentang makanan tak perlu risau, cuma kalau nak sesedap seperti di luar, fahamlah, ini dalam penjara,” katanya melalui video di TikTok dengan nama pengguna Wan Yoshiki.
Beberapa pengguna di ruangan komen turut mengesahkan kenyataan lelaki tersebut, malah ada yang memaklumkan bahawa tahanan di Penjara Narathiwat boleh menikmati makanan enak dari luar.
“Ya, betul bang. Saya orang Thailand Narathiwat,” komen @Peemobile.
“Nak makan sedap kena ada duit. Kalau bulan puasa nak makan sedap, keluarga tahanan boleh beli makanan dari luar untuk dibawa masuk ke Penjara Narathiwat. Seminggu sekali boleh melawat,” jelas seorang pengguna lain.
“Tuan, betul ke penjara di sana kalau nak makan sedap waris kena tanggung? Kalau waris susah, mereka hanya dapat makan sekali sehari sahaja,” tanya @auliatasrik2022.
BACA: Menteri Kewangan II dedah cara salur subsidi RON95 ramai nak tahu