“Semua perkara suami uruskan, bila dia meninggal, aku terpaksa ‘google’ semua benda

Oleh ISMAIL YAHYA

Kadang kalau ramai meminta doa untuk mengurangkan beban tanpa menghargai apa yang ada disekeliling.

Bila komitmen tinggi maka tak terkejut jika jumlah hutang meningkat namun itu sama sekali tidak boleh dibandingkan dengan hilang orang tersayang.

Seorang wanita sering berdoa agar hutang dapat dilangsaikan dengan segera, Allah SWT makbulkan doanya

apabila tanpa sedar arwah suami meletakkan hibah pada harga standing hutangnya.

Aku Madam T. Aku dengan suami tiada sebarang masalah. Kami baik- baik sahaja. Bergaduh sesekali itu lumrah lah suami isteri. Aku gelarkan suami sebagai B.

“Semua perkara suami uruskan, bila dia meninggal, aku terpaksa ‘google’ semua benda

Kami dah berkahwin hampir 15 tahun, dikurniakan anak tiga orang. Alhamdulillah. Dalam keluarga, akulah bread winner (pencari nafkah utama). Gaji aku lima kali ganda dari B.

Kami ada dua biji kereta jenama Malaysia. Satu kereta untuk kerja, dan satu kereta keluarga.

Kami juga memiliki sebuah rumah 2 tingkat di satu bandar elit. Harga rumah jenis ini di kawasan kampung, boleh dapat dalam RM400k.

Tapi harganya menjadi berganda bila ianya bergeografi kan kawasan elit. Kenapa kami duduk di area elit ini, kerana rumah ini berdekatan dengan tempat kerja kami berdua dan kawasan perumahan yang agak strategik.

Sebagai bread winner dalam keluarga, hampir 90 peratus perbelanjaan dalam rumah termasuk sekolah anak-anak, segala bil, insurans aku yang tanggung.

B kata hanya mampu bagi nafkah pada aku setiap bulan sebanyak RM1000. Alhamdulillah tak pernah culas setiap bulan jumlah itu aku terima.

Walaupun jumlah itu tak mampu nak tampung banyak kos perbelanjaan hidup, tapi jujurnya aku reda dan ikhlas.

Sebab sepanjang 15 tahun aku berkahwin, sekali pun aku tak pernah buat kerja rumah. B yang uruskan segala urusan rumah tangga.

Sampai tahap aku tak pandai guna mesin basuh sebab memang tak pernah basuh baju. Tugas aku di rumah cuma memasak, sebab B memang tiada bakat masak, dan atur jadual belajar anak-anak sahaja.

Urusan yang lain, B yang uruskan. Sampai tahap aku dah lupa macam mana nak uruskan rumah tangga sebab memang B yang uruskan semuanya.

Awal perkahwinan dulu, memang aku ada buat kerja-kerja rumah lazimnya seorang isteri. Tapi, melihat aku yang banyak berbelanja untuk keperluan keluarga dan bercuti.

B melarang aku membuat kerja rumah kecuali masak dan urusan belajar anak- anak. Katanya, biarlah dia yang buat semua tu, sebab aku dah ambil tanggungjawab utama dia sebagai suami.

Setiap malam B akan tidur lewat kerana mengemas rumah dan menyiapkan keperluan kami bekerja dan anak-anak ke sekolah keesokan hari nya.

Begitulah rutin kami setiap hari. Hari minggu, bawa anak berjalan. Sesekali bawa anak-anak bercuti.

Alhamdulillah, untuk 15 tahun hidup bersama yang ku rasakan cukup bahagia. Ada suami yang cukup rajin dan menyenangkan hati.

Walaupun begitu, tipulah aku tidak terbeban dengan tanggungan kewangan. Hidup di bandar besar dengan serba-serbi nya mahal membuat aku kadang-kadang kalah dengan emosi sendiri.

Aku tiada hutang pelik-pelik, cuma hutang dua biji kereta dan sebuah rumah sahaja. Tapi anggaran jumlah hutang aku ni hampir RM1 juta juga bila digabungkan kesemuanya.

Mula-mula dulu, kami hanya ada satu kereta sahaja, tapi dengan faktor kerja aku yang banyak ke luar kawasan, susah bagi B untuk menguruskan 3 orang anak-anak dengan hanya bermotor.

Jadi kami buat keputusan untuk tambah sebuah kereta lagi dan tanggungan semua hutang atas nama aku.

Agak terbeban menanggung hutang, sampailah satu tahap, dalam setiap solat aku berdoa minta Allah bagi aku RM1 juta ringgit. Bukan untuk bermewah-mewah, tapi hanya untuk menyelesaikan hutang-hutang sahaja

Itulah doa yang aku tak pernah lupa untuk baca setiap kali selepas solat, masa tengah drive, masa tengah bersendiri. Tak lekang doa tu.

Dan akhirnya, doa aku dimakbulkan. Tapi dengan cara yang aku sangat tak sangka dan tidak inginkan. Ye aku dapat RM1 juta tu.

Duit dari hibah dan insurans kematian B akibat kemalangan jalan raya pada Disember 2023. Betul, saat aku menulis confession ini, semua hutang-hutang sudah terlangsai.

Seperti yang aku niatkan, sekiranya aku dapat RM1 juta itu, perkara pertama adalah melangsaikan hutang-hutang yang ada. Itulah doa yang selalu menjadi zikir harian aku.

Tapi, asbab doa itu, aku kehilangan seorang suami yang sangat baik, dan anak-anak kehilangan ayah yang sangat penyayang.

Sesungguhnya, sekiranya aku tahu, B akan menjadi ganti kepada nilai RM1 juta itu, aku tidak akan berdoa macam itu.

Aku rela terbeban bayar hutang macam biasa. Aku menyesal dengan doa aku sendiri. Pedih hati tengok muka anak-anak yang rindukan ayahnya.

Aku sendiri, hidup tunggang langgang nak uruskan rumah tangga yang aku tak pernah buat sepanjang 15 tahun yang lepas.

Sehingga nak kemas rumah pun kena tengok tutorial. Anak- anak nak pergi sekolah ada je barang yang tak lengkap. Useless nya hidup aku ni. Teruknya aku sebagai seorang mak.

Tapi aku tetap bersyukur, anak pertama aku, sangat matang sebiji ayahnya walaupun baru 13 tahun.

Dialah yang banyak bantu aku uruskan rumah tangga dan jaga adik-adik nya. Dia yang ajar aku macam mana guna mesin basuh. Teruk sangat aku ni.

Ada satu malam, dalam pukul 3 pagi, aku terjaga untuk membuang air. Tiba- tiba aku terdengar suara menangis dari dalam bilik anak sulung aku.

Bila aku masuk, ye anak sulung aku tengah menangis sambil peluk gambar ayah nya. Dia cakap, mama, abang rindu ayah. Luruh jantung aku.

Aku ke punca anak-anak aku pegang title anak yatim seawal usia. Maafkan mama, abang. Maafkan mama.

Aku tak tahu pengajaran yang macam mana aku cuba sampaikan dalam kisah hidup aku ni

Cuma, satu perkara yang pasti, aku menyesal berdoa macam tu. Dah 10 bulan B pergi, cuti tanpa gaji aku pun dah nak habis. Semoga aku mampu reda dengan ujian ini.

Januari 2025 aku akan mula bekerja semula selepas setahun cuti tanpa gaji. Semoga aku kuat untuk cari rezeki dan tebus dosa aku pada anak-anak. Maafkan mama.

Maka dengan itu, kau kurniakan suami ku syurga tanpa hisab. Dan satukan lah semula kami di sana nanti.

Baca juga Genap 190 hari, aktivis Korea protes depan kedutaan Israel demi Palestin