Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, menegaskan agar agama tidak dijadikan alat untuk menghalalkan niat dan matlamat tertentu.
Baginda menegaskan bahawa masjid harus kekal sebagai tempat yang aman dan selamat untuk semua pihak, tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik.
Baginda bertitah dalam Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di Kuantan,
Bahawa semua pemegang tauliah mengajar di negeri ini harus memastikan masjid tidak dijadikan pentas politik.
Masjid, menurut Al-Sultan Abdullah, seharusnya menjadi tempat penyatuan umat Islam dan bukannya medan untuk menyebarkan kebencian atau fitnah.
“Pada hari ini, saya ingin memberi peringatan tegas kepada semua pemegang tauliah mengajar di Pahang supaya tidak menjadikan masjid sebagai pentas politik.
Masjid harus menjadi tempat untuk menyatukan umat Islam, bukan tempat untuk menyebarkan kebencian atau fitnah,” titah baginda, sebagaimana yang dilaporkan oleh Kosmo.
Baginda turut menegaskan bahawa alim ulama, asatizah, dan penceramah perlu menjadi contoh teladan yang baik dalam menjaga keharmonian dan ketenteraman masyarakat. Sultan Pahang juga mengingatkan bahawa tauliah yang diberikan boleh ditarik balik sekiranya disalahgunakan, demi menjaga kesucian tujuan asal pentauliahan tersebut.
Berkaitan isu ajaran sesat, Al-Sultan Abdullah bertitah agar Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Jabatan Mufti, dan pihak berkuasa lain mengambil langkah proaktif dalam menangani isu ini. Pencegahan dan penguatkuasaan perlu diperkasakan untuk melindungi masyarakat daripada terjebak dalam ajaran yang menyeleweng.
Baginda juga menyeru agar lebih banyak program kesedaran dijalankan, melibatkan semua lapisan masyarakat, supaya setiap individu, daripada kanak-kanak hingga golongan profesional, lebih peka terhadap bahaya ajaran sesat.
“Isu ajaran sesat ini bukan hanya mencemari kesucian agama Islam, malah boleh memecahbelahkan perpaduan umat. Penyimpangan akidah adalah ancaman serius yang tidak boleh dipandang ringan. Ia ibarat ‘api dalam sekam’, yang boleh merebak tanpa disedari,” titah baginda.
Baginda menambah bahawa Nabi Muhammad SAW diutuskan untuk membawa ajaran Islam yang sebenar, namun dalam dunia akhir zaman ini, fitnah dan kekeliruan berleluasa, menyebabkan umat mudah terjerumus ke dalam ajaran sesat.
Selain itu, Sultan Abdullah turut menyatakan bahawa sudah tiba masanya untuk memperkasakan Mahkamah Syariah di Pahang, dengan mencadangkan penubuhan empat peringkat Mahkamah Syariah di negeri ini.
Selepas Mahkamah Rayuan Syariah, satu peringkat tambahan yang dinamakan Mahkamah Utama Syariah perlu diwujudkan untuk mendengar rayuan dan semakan kes dari Mahkamah Rayuan Syariah.