Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, telah meninggal dunia di sebuah hospital swasta hari ini pada usia 86 tahun.
Berita sedih itu disahkan oleh peguamnya, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar kepada BH sebentar tadi.
Allahyarham meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di hospital.
Menurut laporan portal Malaysiakini, Gurdial mengesahkan bahawa pengebumian Allahyarham akan dilakukan pagi ini.
“Ya, benar beliau telah meninggal dunia. Beliau baru-baru ini mengalami strok dan telah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU). Setakat ini, tiada maklumat lanjut,” ujar Gurdial.
Daim Zainuddin pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dua penggal, pertama dari tahun 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam tempoh tersebut, beliau memainkan peranan penting dalam menguruskan ekonomi negara serta melaksanakan pelarasan struktur.
Beliau kemudian kembali berkhidmat untuk penggal kedua sebagai Menteri Kewangan dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr Mahathir, bagi menangani isu ekonomi yang timbul ekoran krisis kewangan Asia.