Sidang Parlimen New Zealand dilaporkan tergantung seketika akibat tindakan beberapa ahli parlimen yang mempersembahkan tarian Haka, lapor BBC.
Menurut portal berita itu, aksi tersebut dilakukan sebagai protes terhadap rang undang-undang kontroversi yang cuba mentafsir semula perjanjian penubuhan negara dengan kaum Maori.
Protes itu dipelopori oleh ahli parlimen pembangkang, Hana-Rawhiti Maipi-Clarke, yang bertindak demikian
selepas ditanya sama ada partinya akan menyokong rang undang-undang tersebut dalam undian pusingan pertama yang diadakan pada Khamis (waktu tempatan).
Dalam masa yang sama, satu perhimpunan aman yang diadakan oleh penyokong hak-hak Maori sedang berlangsung dan bergerak ke ibu negara,
Wellington. Menurut laporan BBC, protes yang disertai ribuan peserta itu dijangka berlangsung selama 10 hari, bermula dari kawasan utara New Zealand pada Isnin lalu dan tiba di Auckland pada Rabu.
New Zealand dikenal sebagai negara yang komited dalam melindungi hak-hak istimewa penduduk asalnya. Walau bagaimanapun, beberapa kumpulan bimbang bahawa rang undang-undang ini akan mengancam hak-hak yang selama ini dinikmati oleh masyarakat Maori.
Parti Act, yang mengusulkan rang undang-undang tersebut, berpendapat bahawa prinsip dalam Perjanjian Waitangi 1840 perlu ditafsirkan semula secara sah. Selama ini, prinsip-prinsip tersebut telah dimasukkan ke dalam undang-undang New Zealand secara beransur-ansur.
Video Hana-Rawhiti Maipi-Clarke melakukan Haka menjadi tular di media sosial. Tindakan ini dilihat sebagai usaha memperbetulkan ‘ketidakadilan’ yang dialami oleh kaum Maori semasa zaman penjajahan kuasa barat. Namun, Parti Act berpendapat bahawa usaha ini juga boleh menyebabkan perpecahan kaum di negara itu. Parti itu menyatakan bahawa dengan memperkenalkan rang undang-undang ini, tafsiran perjanjian boleh dilakukan secara adil melalui parlimen, bukan lagi oleh mahkamah.
Penentang rang undang-undang tersebut berpendapat ia boleh memecah-belahkan negara dan menjejaskan sokongan terhadap hak-hak Maori.
Menurut portal tempatan, Haka adalah tarian istiadat kaum Maori yang melibatkan cabaran perang. Ia biasanya dipersembahkan secara berkumpulan dan melambangkan kebanggaan, kekuatan, serta perpaduan. Tarian ini melibatkan hentakan kaki, jeliran lidah, dan tamparan badan yang diiringi dengan nyanyian lantang.
Pada asalnya, Haka dipersembahkan sebelum peperangan untuk menyediakan pejuang secara mental dan fizikal. Namun, ia juga dipersembahkan dalam pertemuan damai.
Legenda Maori menceritakan bahawa Haka bermula sebagai perayaan kehidupan, dikaitkan dengan dewa matahari, Tama-nui-te-ra, dan isterinya, Hine-Raumati.
Anak mereka, Tane-rore, menari untuk ibunya pada hari musim panas, menyebabkan udara sekeliling bergetar. Gerakan inilah yang menjadi asas kepada semua tarian Haka.
Haka juga dikatakan digubah oleh ketua pahlawan suku Maori, Nhati Toa Te Rauparaha pada awal abad ke-19 untuk meraikan kemenangan dalam pertempuran.
Pada masa kini, Haka lebih dikenali melalui persembahan pasukan rugby kebangsaan New Zealand, All Blacks.
BACA: Perancang kewangan dedah Fattah Amin ubah pemegang amanah pampasan hibah dari Fazura kepada ibunya