Umum mengetahui bahawa al-Quran adalah kitab suci yang merupakan kalam Allah SWT dan ia perlu dihormati dengan penuh adab.
Antara adab yang perlu dijaga adalah seseorang yang ingin menyentuh al-Quran haruslah berada dalam keadaan berwuduk serta bebas daripada hadas kecil dan besar.
Sebuah hantaran di TikTok yang dikongsikan oleh pihak pengurusan Masjid Bandar Seri Putra, Bangi, menjelaskan
salah faham yang sering berlaku berkaitan dengan cara pengendalian al-Quran.
Salah faham ini jika tidak diperbetulkan, boleh menyebabkan seseorang melakukan kesalahan.
Perkara pertama yang ditegur adalah tanggapan umum bahawa seseorang boleh memegang mushaf (kulit) al-Quran tanpa wuduk asalkan menggunakan alas.
Adalah kebiasaan bagi mereka yang tidak berwuduk untuk memegang al-Quran dengan menggunakan kain sebagai pengalas. Namun, menurut pihak pengurusan masjid, ini adalah salah faham.
“Jika seseorang tidak berwuduk, memegang mushaf al-Quran dengan kain tebal sekalipun tetap haram. Begitu juga dengan membawa mushaf al-Quran menggunakan beg tanpa menyentuhnya, itu juga tidak dibenarkan. Wajib berwuduk jika kita ingin menyentuh, memegang, atau membawa mushaf al-Quran,” jelas pihak masjid melalui hantaran TikTok tersebut.
Namun, kelonggaran diberikan untuk al-Quran tafsir, di mana kita dibenarkan untuk memegang dan membawanya tanpa berwuduk. Walau bagaimanapun, elakkan daripada menyentuh ayat-ayat suci di dalamnya, dan hanya dibolehkan untuk memegang terjemahan yang ditulis dalam bahasa Melayu.
Mengikut pandangan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, beliau turut bersetuju bahawa seseorang perlu berwuduk untuk memegang al-Quran.
“Menurut pegangan empat mazhab utama—Mazhab Al-Hanafiyah, Mazhab Al-Malikiyah, Mazhab al-Syafi’iyah, dan Mazhab Al-Hanabilah—seseorang mesti berwuduk untuk menyentuh mushaf al-Quran. Ini adalah satu penghormatan terhadap al-Quran dan perbuatan yang mulia, seperti yang dijelaskan oleh Syeikh Wahbah al-Zuhaili,” katanya.
“Menjaga kehormatan al-Quran adalah wajib, dan menyentuhnya dalam keadaan berhadas bukanlah sikap yang menghormatinya.
Walau bagaimanapun, untuk tafsir al-Quran, seseorang dibenarkan memegang atau membawa al-Quran tanpa wuduk sekiranya ia dalam format cakera optik, seperti CD, Braille, atau paparan skrin telefon bimbit,” jelas beliau.