Rahsia resepi kuih peneram sedap sebiji macam beli di pasar malam!

Oleh AHMAD YUSOF MUSTAPHA

Setiap kali pergi ke pasar malam, memang sukar untuk menahan godaan melihat pelbagai jenis makanan yang dijual,

Dari makanan ringan hingga berat. Walaupun rasa teringin nak beli semuanya, kuih peneram tetap menjadi pilihan wajib untuk dibawa pulang!

Kuih peneram, yang digemari oleh masyarakat Melayu dan India, sebenarnya mudah dibuat di rumah.

Dengan membuat sendiri, anda dapat menikmati doh yang lebih rangup di luar dan lembut di dalam

Jom cuba resepi ini!

Rahsia resepi kuih peneram sedap sebiji macam beli di pasar malam!

Bahan-bahan:

-250g tepung beras Cap Gajah 3
-190g gula merah
-80ml air
-80ml santan pekat

Cara penyediaan:

1. Masak gula, santan, dan air hingga mendidih dan berbuih. Tutup api.

2. Tuangkan air gula yang masih panas ke dalam tepung beras sedikit demi sedikit sambil dikacau dengan senduk kayu. Pada

mulanya, adunan mungkin kelihatan agak cair. Teruskan mengacau selama 7-10 minit sehingga adunan menjadi bertali (bila diangkat sudu, adunan turun perlahan).

3. Perap adunan selama minimum 5-6 jam atau semalaman. Selepas diperap, doh akan sedikit keras. Uli seketika hingga lembut dan boleh dicanai atau dibentuk.

4. Cara membentuk: Boleh dicanai dan ditekap atau bulatkan doh sebesar guli, leperkan di tapak tangan, dan buat lubang di tengah menggunakan lidi.

5. Goreng dalam minyak yang benar-benar panas. Pastikan api sederhana agar kuih tidak hangus. Minyak perlu cukup

panas sehingga doh timbul dalam masa 5 saat. Jika doh tenggelam dan lambat naik, minyak belum cukup panas.

6. Bentukkan doh dan terus goreng jika menggunakan cara leperkan di tangan. Bentuk, buat lubang, dan masukkan terus ke dalam minyak. Goreng dalam kuantiti 2-3 biji sekali.

7. Kerap balik-balikkan kuih agar masak sekata. Apabila kuih sudah berwarna perang, angkat dan elakkan dari

membiarkannya hingga kehitaman kerana ia akan menjadi keras selepas sejuk.

8. Penggunaan santan adalah pilihan. Ada resepi yang tidak menggunakan santan kerana dikatakan kuih tidak tahan lama jika diletakkan santan. Pilih mengikut kesesuaian anda.

Selamat mencuba kuih peneram yang rangup dan enak!