Sharif mendedahkan bahawa Atu pernah melarikan diri dari kampung ke Kuala Lumpur (KL) dan terpaksa hidup sebagai gelandangan kerana ketiadaan wang.
“Dulu saya tengok Atu seolah-olah tiada harapan untuk berjaya. Dia pernah lari ke KL dan jadi gelandangan selama dua atau tiga hari.
Atu ke sana ikut ejen dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di pondok.
“Tetapi, dia tidak dibayar gaji selama beberapa bulan. Dia juga cuba buat kerja lain untuk bertahan.
Akhirnya, arwah bapa kata tak boleh dibiarkan. Dia minta saya ke KL untuk membawa Atu pulang semula ke kampung,” kongsi Sharif.
Menurut Sharif, arwah bapa dan ibu mereka turut meminta supaya Atu dipujuk untuk kembali ke Sabah.
Hampir Terjebak Dadah
Dalam pendedahan menerusi Raja Lawak Podcast yang disiarkan di saluran YouTube Inspirasi MY, Sharif turut menyatakan Atu hampir terjebak dalam gejala dadah akibat tersilap memilih rakan.
“Saya rasa dia merajuk dan lari sebab tak selesa di kampung. Atu memang seorang yang kuat bekerja, tapi duit yang dia dapat selalu ‘hilang entah ke mana’. Sebab itu dia cari kerja di tempat lain untuk dapatkan pendapatan lebih.
“Dia juga hampir terjerumus dalam dunia dadah. Memang hampir, sebab dia salah pilih kawan masa itu,” tambah Sharif.