Ada dakwaan bahawa dalam Islam, hubungan kelamin antara suami dan isteri tidak digalakkan dilakukan pada awal, pertengahan, dan akhir bulan
(iaitu pada tanggal 1, 15, dan 30). Namun, sejauh manakah kebenaran perkara ini?
Berikut adalah penjelasan berdasarkan pandangan ulama.
Pandangan Mengenai Larangan Hubungan Kelamin
Menurut portal Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat sebahagian ulama yang memakruhkan hubungan kelamin pada malam 1, 15, dan 30 setiap bulan.
Ini kerana ada dakwaan bahawa syaitan akan turut serta dalam persetubuhan yang berlaku pada malam-malam tersebut.
Namun, pandangan ini dianggap lemah kerana tiada dalil yang jelas menyokongnya. Sebaliknya, terdapat hadis yang menganjurkan membaca doa sebelum melakukan hubungan kelamin untuk mengelakkan gangguan syaitan.
Pandangan Ulama Mazhab Syafie
Sebahagian ulama Mazhab Syafie berpendapat bahawa hukumnya makruh bersetubuh pada tiga malam tertentu setiap bulan:
1.Malam pertama bulan.
2.Malam pertengahan bulan (15).
3.Malam terakhir bulan.
Imam al-Ghazali menyebut:
“Makruh hukumnya bersetubuh pada malam pertama, pertengahan, dan terakhir bulan kerana dikatakan syaitan turut serta dalam persetubuhan tersebut.”
Pandangan ini turut diriwayatkan daripada Saidina Ali, Mu‘awiyah, dan Abu Hurairah R.Anhum.
Namun, ulama seperti Syeikh Ibn Hajar al-Haitami dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtaj menjelaskan bahawa pandangan ini dianggap lemah kerana tiada dalil sahih yang menyokongnya. Beliau juga menekankan bahawa doa sebelum bersetubuh, sebagaimana diajarkan Rasulullah SAW, adalah amalan yang dapat menghindarkan gangguan syaitan.
Doa Sebelum Hubungan Kelamin
Doa yang dianjurkan untuk dibaca sebelum bersetubuh adalah seperti berikut:
بِاسْمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ، وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا
“Dengan nama Allah, ya Allah, jauhkanlah kami daripada syaitan dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang Engkau rezekikan kepada kami. Jika ditakdirkan lahir anak daripada hubungan ini, anak itu tidak akan dimudaratkan oleh syaitan selama-lamanya.”
(Riwayat al-Bukhari, 6388)
Kesimpulan
Pandangan yang mengatakan makruh bersetubuh pada tanggal 1, 15, dan 30 adalah lemah dan tidak disokong dalil kukuh.
Dalam Islam, hubungan kelamin antara suami isteri adalah halal pada bila-bila masa selagi tidak melanggar hukum syarak.
Apa yang lebih utama ialah membaca doa sebelum melakukannya agar mendapat keberkatan dan terhindar daripada gangguan syaitan.
BACA: Ini jawapan Menteri Kesihatan berkenaan pengharaman penjualan Vape ramai nak tahu