Seorang perunding kewangan berjaya mencuri perhatian selepas berkongsikan
langkah-langkah bijak penggunaan wang simpanan di dalam Akaun Fleksibel atau Akaun 3.
Menerusi satu hantaran di Instagram, perunding dikenali sebagai Azizul Azli Ahmad itu
Beliau mengakui menerima banyak soalan berhubung pengeluaran daripada akaun tersebut.
Azizul bagaimanapun tidak mampu memaksa semua pencarum supaya menyimpan sahaja tabungan persaraan tersebut memandangkan ia adalah hak masing-masing.
Namun perunding terbabit memutuskan untuk berkongsi ilmu mengenai perbelanjaan yang bijak supaya pencarum tidak melakukan keputusan dikhuatiri bakal merugikan mereka di kemudian hari.
“Duit kita, maka ikut sukalah nak belanja macam mana. Apabila dinasihatkan jangan keluarkan simpanan jika tidak memerlukan, nanti akan ada yang cepat terluka pula.
“Maka, saya senaraikan pilihan kalau nak keluarkan juga sebab ‘duit anda hak anda’. Sebaiknya, lakukan perkara ini sahaja dengan duit (Akaun 3) yang akan keluar nanti.
“Saya berpandangan sebaiknya tinggalkan sahaja wang dalam akaun KWSP sahaja. Kasar pulangan dividen juga sihat. Mati itu pasti, tetapi bersara tanpa duit lebih terluka. Percayalah!.” Tegas perunding itu.
1. Bayar hutang
Pastikan kadar hutang lebih tinggi daripada pulangan dividen yang diberikan pihak KWSP. Contohnya pembiayaan peribadi atau kad kredit. Jadi kadar faedahnya tinggi.
Hal ini bagaimanapun berbeza dengan hutang pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di mana kadarnya hanya satu hingga dua peratus sahaja.
Oleh yang demikian, perunding berkenaan berpendapat lebih baik sekiranya simpanan di dalam akaun KWSP 3 itu tidak dibelanja dan berkembang sendiri dengan pulangan lima ke enam peratus setahun.
2. Tabung dana kecemasan
Pengeluaran boleh dibuat untuk dijadikan sebagai tabung kecemasan jika pencarum tidak memiliki dana simpanan tiga hingga enam bulan gaji selepas bertahun bekerja.
3. Keperluan pendidikan
Simpanan di dalam Akaun 3 ini boleh digunakan untuk membeli alat elektronik seperti laptop mahupun telefon pintar baharu asalkan tujuannya hanya untuk pembelajaran.
Alat telekomunikasi ini juga harus digunakan dengan bijak agar dapat menjana lebih banyak keuntungan sekaligus boleh menggantikan simpanan yang telah dikeluarkan.
4. Tambah kemahiran
Pencarum boleh menggunakan simpanan tersebut dengan mengikuti kelas, bengkel, seminar mahupun sambung semula pembelajaran bagi memperbaiki kemahiran kita.
Apabila kemahiran bertambah, nilai diri juga meningkat seterusnya dapat digunakan untuk menjana lebih banyak keuntungan dan tentunya simpanan.
5. Beli emas
Pembelian emas juga merupakan satu keputusan yang bijak kerana statusnya yang sentiasa bernilai sepanjang zaman. Malah harga emas juga meningkat saban tahun.
Menjamin keuntungan yang tinggi, pencarum juga digalakkan untuk membeli emas lalu menyimpannya untuk kegunaan di masa hadapan.
Baca juga: ‘Jangan pertikai kebolehan Muhyiddin’ Gerakan bidas Pas, henti berangan kerusi PM