Seorang penduduk Tenom, Sabah yang memilih untuk tidak menjalani rawatan dialisis
sehingga meragut nyawanya telah menyentuh emosi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, sehingga beliau menitiskan air mata.
Dr. Dzulkefly kelihatan sangat terharu dan emosinya terganggu apabila memulakan sesi Penggulungan
Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) malam ini.
Kisah ini dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Bebas Tenom, Riduan Rubin, pada sesi perbahasan terakhir.
“Setiap seorang daripada kita mungkin telah mendengar perbahasan daripada Ahli Yang Berhormat (YB) lain sebentar tadi. Di penghujung perbahasan, YB Tenom berkongsi kisah menyayat hati tentang rakyatnya yang terpaksa menderita.
“Fasiliti seperti dialisis dan hemodialisis bukan sahaja sukar didapati, tetapi kos rawatannya yang mahal, sekitar RM80 hingga RM120 setiap sesi, menjadi beban.
“Dengan tambahan kos pengangkutan yang tinggi, ada yang akhirnya memilih untuk tidak menjalani rawatan dialisis, dan akibatnya mereka kehilangan nyawa,” katanya dengan nada suara tersekat-sekat sebelum beliau berhenti sejenak untuk minum air seperti diarahkan oleh Datuk Mohd Shahar Abdullah, yang mempengerusikan sesi itu.
Dr Dzulkefly Tersentuh Hati
Sebaik sahaja kembali tenang, Dr. Dzulkefly meneruskan sesi penggulungannya dengan menegaskan bahawa caj yang dikenakan kepada golongan tidak berkemampuan adalah tidak wajar.
“Saya ingin menjawab soalan YB Tenom walaupun ia yang terakhir. Caj rawatan ini tidak patut dikenakan oleh kerajaan jika akhirnya dibayar dengan nyawa rakyat.
“YB Tenom juga mengemukakan pelbagai permintaan, khususnya bagi klinik di kawasannya, yang pada pandangan saya sangat layak untuk dipertimbangkan secara serius.
Kita harus ingat kepada prinsip Universal Health Coverage (UHC), di mana setiap individu berhak mendapatkan rawatan kesihatan tanpa sebarang pengecualian, seperti yang dihasratkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” jelasnya.
Penderitaan Penduduk Tenom
Sebelum itu, Riduan Rubin menyuarakan kesengsaraan yang dihadapi pesakit di Tenom, yang tidak mampu meneruskan rawatan akibat kos yang tinggi.
“Penduduk terpaksa membayar sehingga RM120 untuk rawatan tiga kali seminggu. Kos ini termasuk pengangkutan, yang menjadikan beban lebih berat.
“Kerana kekangan kewangan, ada pesakit yang mengambil keputusan untuk tidak meneruskan rawatan, sehingga akhirnya mereka meninggal dunia.
“Saya merayu kepada kementerian supaya mengkaji semula pengecualian caj rawatan ini bagi memastikan keadilan sosial dan hak kesihatan rakyat terjamin,” katanya.
BACA: Wanita luah rasa tidak puas hati, suami melebihkan kawan dari keluarga sendiri