Kepemimpinan PAS dilihat tidak sehaluan dalam isu tuntutan supaya jawatan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) diisi oleh wakil dari parti itu.
Perbezaan pandangan ini jelas menerusi kenyataan yang bertentangan antara
Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, dan Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Keadaan ini berlaku beberapa hari selepas laporan mengenai ketegangan antara PAS dan BERSATU
Berhubung calon Perdana Menteri bagi gabungan politik tersebut.
Ketika bercakap dalam sidang media di Parlimen, Datuk Idris Ahmad menegaskan bahawa tiada isu dengan pelantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung PN.
“Anda dengar PAS tuntut jawatan Setiausaha Agung PN dari mana? Musuh ke? Kalau sumber itu tak boleh dipercayai, ia cuma bisikan syaitan yang cuba memecahbelahkan kami.
“Kami tetap padu dan sentiasa berusaha memperkukuhkan perpaduan. Malah, kami baru sahaja mengadakan usrah bersama PN semalam,” kata Ahli Parlimen Bagan Serai itu.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi, dalam kenyataannya semalam mencadangkan agar Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dilantik sebagai Setiausaha Agung PN menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Menurut Ahli Parlimen Alor Setar itu, cadangan ini munasabah kerana Hamzah, yang juga Ketua Pembangkang, telah diberi mandat baharu sebagai Timbalan Presiden BERSATU.
Semalam, Pengerusi PN merangkap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengesahkan pelantikan Mohamed Azmin sebagai Setiausaha Agung PN dan BERSATU.
Muhyiddin menjelaskan, pelantikan Pengerusi BERSATU Selangor itu telah dimuktamadkan, dengan pengumuman rasmi akan dibuat dalam masa terdekat.
“Keputusan ini sudah muktamad. Sebelum ini saya sudah menyebut perkara ini, tetapi mungkin ramai yang ragu-ragu. Saya ingin tegaskan bahawa memang sah Azmin dilantik sebagai Setiausaha Agung BERSATU dan PN,” katanya seperti dilaporkan media.
Cadangan melantik Takiyuddin sebagai Setiausaha Agung PN timbul beberapa hari selepas perbalahan antara PAS dan BERSATU mengenai calon Perdana Menteri gabungan itu.
Pertikaian ini berpunca daripada kenyataan Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang menyokong Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri.
Bagaimanapun, pandangan tersebut disanggah oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin, yang berpendapat calon dari PAS lebih layak untuk jawatan tersebut.