620,000 rakyat Malaysia punca TNB tanggung hutang cecah RM 1 bilion

Oleh SHUHADA BUSTAMAN

Sehingga September tahun ini, lebih 620,000 isi rumah di Malaysia dilaporkan gagal membayar bil elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB),

Dengan jumlah tunggakan mencecah lebih RM1 bilion.

Perkara ini didedahkan oleh Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Kelestarian Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, semasa sesi Waktu Pertanyaan di Parlimen hari ini.

Akmal menjelaskan, angka ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun 2023, di mana sebanyak

150,000 isi rumah gagal melunaskan bil elektrik mereka, dengan tunggakan keseluruhan berjumlah RM945 juta.

620,000 rakyat Malaysia punca TNB tanggung hutang cecah RM 1 bilion

Menurut beliau, punca utama peningkatan ini mungkin disebabkan oleh masalah kewangan yang dihadapi oleh rakyat, selain sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang bukan pemilik sebenar premis.

“Kadangkala pemegang akaun ini bukan pemilik premis. Ada kes di mana mereka meninggalkan premis tanpa menyelesaikan bayaran,” jelasnya seperti dilaporkan oleh Malay Mail.

Dari segi negeri, Selangor mencatat jumlah tunggakan tertinggi bagi tahun 2023 dan 2024. Sementara itu, Kuala Lumpur berada di kedudukan kedua pada tahun ini, menunjukkan peningkatan ketara dalam jumlah tunggakan.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, yang membangkitkan isu ini, menyatakan bahawa jumlah tunggakan yang tinggi ini mungkin mencerminkan tekanan kewangan yang semakin dirasai rakyat Malaysia.

Beliau turut mengkritik kelewatan TNB dalam menyambung semula bekalan elektrik selepas bayaran dibuat, yang menurutnya kadangkala memakan masa berjam-jam.

Penjelasan TNB dan Langkah Penyelesaian
Menjawab kebimbangan tersebut, Akmal menjelaskan bahawa TNB hanya akan memotong bekalan elektrik selepas pelanggan gagal memberikan kerjasama untuk menyusun semula jadual pembayaran.

“Proses ini biasanya mengambil masa sehingga 30 hari sebelum akaun diputuskan dan bekalan dihentikan,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa pihak TNB sebenarnya tidak ingin sampai ke tahap memotong bekalan, kerana menyedari bahawa elektrik adalah keperluan asas rakyat.

Sebagai langkah penyelesaian, Akmal menggesa pengguna yang menghadapi kesukaran kewangan untuk berunding dengan pihak TNB bagi mencari penyelesaian dan memastikan bekalan elektrik tidak terganggu.

BACA: Siapa sangka menu Kelantan ‘mendunia’ di London, ini kisah keluarga cina raih RM 2juta dengan jual nasi kerabu