Rupanya ini sebab kenapa tayar pada lori ada yang terangkat, bukan saja-saja angkat

Oleh GEMILANGDAILY

Hampir setiap hari, kenderaan berat seperti lori, trak, atau treler digunakan untuk mengangkut kontena atau barang dalam kuantiti besar ke pelbagai lokasi.

Oleh sebab itu, tidak menghairankan apabila kenderaan ini memiliki saiz yang lebih besar dan panjang

untuk menampung muatan yang banyak dalam satu masa.

Kadang-kala, kita mungkin pernah melihat atau berhenti di sebelah lori-lori besar ini, contohnya di persimpangan lampu isyarat.

Dalam keadaan ini, kita sering tertarik dengan tayar lori yang kelihatan terangkat dan tidak menyentuh permukaan jalan, bukan?

Rupanya ini sebab kenapa tayar pada lori ada yang terangkat, bukan saja-saja angkat

Pernahkah anda terfikir mengapa tayar itu diangkat? Bukankah lori akan lebih stabil jika semua tayarnya digunakan?

Jadi, hari ini kami ingin berkongsi tentang mengapa ada lori yang mempunyai tayar ‘terapung’ dan tidak semua tayar sentiasa digunakan.

Apa maksud tayar ‘terapung’ pada lori?

Menurut portal Driving Test, tayar yang terangkat dan tidak menyentuh jalan dikenali sebagai “gandar terangkat” atau lift axle. Lori atau trak yang membawa muatan berat dilengkapi dengan lift axle atas beberapa sebab, salah satunya untuk pengagihan beban yang lebih baik.

Lift axle membantu membahagikan beban secara lebih rata, yang bukan sahaja meningkatkan kestabilan lori, tetapi juga mengurangkan tekanan pada tayar. Apabila lori tidak membawa muatan, lift axle diangkat untuk mengurangkan geseran dan menjimatkan penggunaan bahan api. Tanpa penggunaan kesemua tayar pada permukaan jalan, lori memerlukan tenaga yang lebih sedikit.

Selain itu, pengangkatan lift axle juga dapat mengurangkan kos penyelenggaraan dengan mengurangkan kadar kehausan tayar apabila lori tidak membawa muatan.

Apabila lori membawa muatan berat, lift axle akan diturunkan secara automatik untuk meningkatkan kestabilan dan menampung beban tambahan.

Secara ringkas, jika beban yang dibawa tidak begitu berat, tiada keperluan untuk lift axle digunakan. Namun, kadangkala, lift axle diturunkan apabila lori melalui permukaan jalan yang tidak rata kerana lebih banyak tayar yang menyentuh jalan akan menjadikan pemanduan lebih lancar.

Tiga kelebihan menggunakan gandar terangkat pada kenderaan muatan berat

Menurut portal Yamada Sharyo Co. Ltd, terdapat tiga kelebihan utama apabila kenderaan berat menggunakan gandar terangkat.

Pertama, ia membantu memanjangkan jangka hayat tayar dan pad brek. Kedua, ia mengurangkan rintangan bergolek, yang seterusnya meningkatkan kecekapan bahan api. Akhir sekali, penggunaan lift axle membantu mengurangkan kerosakan pada permukaan jalan

BACA: Ketagih nasi goreng seafood punca lelaki Jerman 8 kali datang Malaysia