Penyanyi Adira, atau Siti Adira Suhaimi, 33, terpaksa dikejarkan ke pusat perubatan di Petaling Jaya, Selangor,
Pada malam Rabu selepas secara tiba-tiba pengsan di rumahnya.
Menurut Adira, dia dibawa ke hospital tersebut untuk mendapatkan rawatan dan hasil pemeriksaan
mendapati dia menghidap demam panas serta kekurangan sel darah merah.
“Semalam (Rabu), selepas waktu Isyak, saya tiba-tiba pengsan di rumah. Abang-abang saya yang menguruskan dan memanggil ambulans untuk membawa saya ke hospital.
“Alhamdulillah, keadaan saya kini stabil, cuma perlu rehat sehingga demam betul-betul sembuh,” katanya.
Adira turut menyatakan bahawa kesibukan kerja mungkin menjadi punca dia kurang mendapat rehat sehingga menjejaskan kesihatannya.
Insiden itu membuatkan dia lebih menyedari pentingnya untuk mendapatkan rehat yang cukup.
“Sebelum ini, saya memang rehat, tapi mungkin tidak cukup. Bila berlaku macam ni, barulah saya insaf dan akan lebih utamakan kesihatan.
“Walaupun sibuk macam mana pun, tetap kena ada waktu untuk rehat,” ujarnya.
Berikutan masalah kesihatan yang dihadapinya, Adira terpaksa membatalkan beberapa undangan persembahan.
“Setakat ini, hanya persembahan hari Ahad yang tak boleh saya batalkan. Jadi saya perlu pastikan diri sihat sebelum Ahad.
“Syukur, beberapa penganjur lain memahami keadaan saya dan saya terpaksa batalkan undangan persembahan,” jelasnya.
BACA: Lelaki dipenjara 21 hari selepas 18 bekas bedak disangka dadah