Nelissa Nizam dedah pernah jadi magsa keganasan rumah tangga

Oleh ZULQARNAIN ISMAIL

Pernah melalui pengalaman pahit sebagai mangsa keganasan rumah tangga ketika usia remaja,

Pelakon Nelissa Nizam menyeru golongan isteri agar tidak menjadikan anak-anak

sebagai alasan untuk terus bertahan dalam perkahwinan yang toksik.

Nelissa Adreena Nizam, 26, percaya bahawa keputusan mempertahankan hubungan sebegitu hanya akan memberi kesan buruk kepada psikologi anak-anak.

“Jangan jadikan anak-anak sebagai alasan untuk bertahan dalam perkahwinan toksik.

Nelissa Nizam dedah pernah jadi magsa keganasan rumah tangga

Ia tidak mendatangkan faedah, malah anak-anak juga akan terjejas dan mustahil merasa bahagia jika membesar dalam persekitaran seperti itu,” katanya kepada Kosmo! Online.

Pelakon filem Saka Perawan itu turut menyeru wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga agar berani melindungi diri dan anak-anak mereka.

“Saya berharap ibu-ibu di luar sana memikirkan kesan kepada anak-anak. Jangan biarkan mereka membesar dalam keadaan toksik. Menyelamatkan diri sendiri itu penting. Membesarkan anak sebagai ibu tunggal bukanlah satu kelemahan,” ujarnya.

Nelissa juga menzahirkan kesyukuran kerana ibunya sendiri telah membuat keputusan tepat dengan meninggalkan perkahwinan toksik yang membelenggu mereka sekeluarga.

“Saya sangat bersyukur semuanya sudah berakhir. Kami sekeluarga kini bebas daripada pengalaman itu. Dahulu, masyarakat kurang peka tentang isu keganasan rumah tangga, malah jiran-jiran pun tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk membantu kami.

“Selepas ibu berpisah, kami belajar untuk berdikari. Setelah tamat sekolah, saya dan adik-beradik bekerjasama mencari rezeki untuk menyara keluarga. Kini, alhamdulillah, kami semua berada dalam keadaan baik,” jelasnya.

Sebelum ini, Nelissa pernah berkongsi bahawa pengalaman sebagai mangsa keganasan rumah tangga sejak kecil memberi kesan mendalam kepada dirinya.

Malah, pengalaman tersebut menyukarkannya untuk melakonkan babak penderaan fizikal dalam drama Bawah Payung Awan.

BACA: Tiba-tiba jatuh pengsan lepas waktu isyak, Adira dikejarkan ke hospital