Sebagai seorang Muslim, kita diajar untuk melayani dan memuliakan tetamu, lebih-lebih lagi jika mereka adalah ahli keluarga.
Namun, sebagai tetamu, adab juga harus dijaga, termasuk memaklumkan kedatangan terlebih dahulu dan meminta izin agar tuan rumah dapat membuat persediaan.
Situasi seperti ini dikongsikan oleh seorang wanita di TikTok, yang menghadapi cabaran menerima kunjungan mengejut daripada ibu mentuanya.
Menurutnya, ibu mentua sering datang tanpa memberitahu, kadang-kadang menggunakan kunci pendua untuk masuk ke rumah mereka tanpa izin.
“Rumah dekat tak semestinya boleh datang hari-hari.
Main terjah pula. Nanti balik, bawa mulut kata rumah berselerak dan sebagainya. Kita ni bekerja, balik rumah nak rehat dulu sebelum mengemas atau memasak,” tulis wanita itu.
Dia juga berkongsi betapa sukar bagi seorang wanita bekerjaya untuk mengimbangi masa antara kerja dan tugas rumah. Situasi ini menjadi lebih mencabar apabila kunjungan tidak dijangka berlaku pada hari cuti atau ketika dia berada di luar rumah.
“Kadang-kadang bila balik rumah, nampak kereta mak mentua dah ada. Dia dah masuk sebab ada kunci. Langsung tak hormat kita sebagai tuan rumah,” luahnya.
Suami Tegur Secara Baik, Tetapi…
Wanita itu dan suaminya pernah mempertimbangkan untuk menukar kunci rumah demi mengelakkan situasi tidak selesa ini. Suaminya turut menegur ibunya secara baik, namun teguran tersebut tidak diterima dengan baik.
“Mak dia marah dan mula menyebarkan cerita, mengatakan anaknya lebihkan isteri selepas berkahwin. Malah, dia terus block kami,” jelas wanita itu.
Reaksi Netizen
Perkongsian wanita itu mendapat perhatian ramai, dengan netizen turut berkongsi pengalaman serupa:
“Sabar je… saya pun laluinya sampai sekarang. Dituduh layan mentua macam binatang. Orang kalau dah tak suka, buat baik pun nampak buruk.”
“Saya pun sama. Tukar saja kunci rumah, tak perlu fikir panjang. Sebelum itu, rosakkan kunci lama dan beri alasan kena beli yang baru.”
Belajar Menjaga Adab
Kisah ini menjadi pengajaran penting untuk menjaga keseimbangan dalam hubungan keluarga, terutama antara menantu dan mentua.
Hormat-menghormati, komunikasi baik, dan batasan yang sihat adalah kunci untuk membina hubungan yang harmoni.
BACA: Ini respon padu Anwar Ibrahim, kes pendakwah Indonesia hina penjual air dalam ceramah