Punca Khairul Aming tamatkan misi bantuan banjir di Kelantan hari ini buat terharu

Oleh ZULQARNAIN ISMAIL

Misi bantuan banjir yang dikelola oleh pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming bakal ditamatkan hari ini

iaitu pada Rabu, 4 Disember di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Khairul Aming menerusi sesi siaran langsung di platform TikTok memohon maaf kerana terpaksa menamatkan misi bantuan itu

untuk menyelesaikan pelbagai urusan yang tertangguh berkaitan perniagaannya.

Jelas usahawan terbabit, sudah hampir seminggu urusan membabitkan kilang dan pelanggan telah ditangguhkan semenjak menjalankan misi bantuan yang beroperasi di Kelantan itu.

Punca Khairul Aming tamatkan misi bantuan banjir di Kelantan hari ini buat terharu

“KA (Khairul Aming) minta maaf sebab terpaksa balik ke Kuala Lumpur. Kami ada kerja yang sudah tak boleh nak elak (tangguh). Sudah seminggu KA tinggalkan urusan perniagaan.

“Urusan membabitkan kilang dan klien juga tertangguh. Jadi KA minta maaf, esok (Rabu) adalah hari terakhir (misi bantuan banjir dijalankan),” katanya dalam satu sesi siaran langsung, semalam.

Sesi siaran langsung berkenaan sempat dirakam sebelum dimuat naik semula di platform TikTok oleh pemilik akaun @khairulamingfans.

Dalam hantaran berikutnya di platform X, Khairul Aming menyeru agar ramai lagi sukarelawan turun padang hari ini untuk membantu mengagihkan barangan kerana banyak sumbangan akan sampai pada pagi Rabu.

Usahawan itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua sukarelawan, pemandu, penyumbang barang, anggota dari Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan pihak berkuasa kerana melancarkan misi tersebut.

“Walaupun misi bantuan ini akan berakhir, masih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk membantu mangsa membina semula kehidupan selepas banjir. Ayuh berikan khidmat sehabis baik (untuk hari terakhir).

“Kepada sukarelawan, pemandu, penyumbang barang, anggota Rela, pihak berkuasa dan semua yang terlibat, anda semua adalah orang yang sangat hebat. Hampir satu minggu kita berganding bahu.

“Esok kita berpisah, tetapi kenangan itu akan kekal selamanya. Terima kasih semua,” kata usahawan kelahiran Kelantan itu menyampaikan penghargaannya kepada pihak yang terlibat dalam misi bantuan tersebut.

Baca juga: