Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, mendahului senarai 94 individu
Mereka yang menerima darjah kebesaran, bintang, dan pingat negeri pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor
sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ke-79, hari ini.
Beliau dikurniakan Darjah Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Turut menerima darjahyang sama dalam istiadat tersebut di Istana Alam Shah hari ini adalah Pengerusi Eksekutif The Edge Communications Sdn. Bhd., Tan Sri Tong Kooi Ong.
Darjah Dato’ Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) pula dikurniakan kepada Anggota Lembaga Pengampunan Selangor, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman.
Selain itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) kepada 11 penerima, termasuk Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia, Sharrina Abdullah; Duta Besar Malaysia ke Maghribi, Shahabudeen Adam Shah dan Hakim Mahkamah Keluarga Kuala Lumpur, Evrol Mariette Peters.
Antara penerima Darjah DPMS yang lain adalah Ahli Majlis Kerajaan Negeri Selangor, Izham Hashim; Panglima Markas Briged Ke-11 Infantri, Kem Sungai Buloh, Brigadier Jeneral Shahir Hafizul Abd. Rahman; Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Rahilah Rahmat; dan Ahli Lembaga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Selangor, Cheremi Tarman.
Darjah tersebut juga diberikan kepada Pengarah Urusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datin Azalina Adham; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perdana Parkcity Sdn. Bhd., Datuk Joseph Lau; Ketua Pegawai Eksekutif Aeon Bank (M) Berhad, Raja Maimunah Raja Abdul Aziz; serta Pengarah Ranhill Utilities Berhad, Faiz Ishak.
Sementara itu, Darjah Kebesaran Dato’ – Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) dikurniakan kepada Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Muhammad Farhan Wijaya; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee; dan Setiausaha Dewan di-Raja Selangor, Hanafisah Jais.
Penerima lain yang menerima darjah sama termasuk Ahli Jawatankuasa Fatwa dan Khutbah Selangor, Dr. Muhammad Ayman al-Akiti; Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Zakat Selangor, Badariah Abd. Jalil; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor Incorporated, Saipolyazan Mat Yusop; serta beberapa individu lain yang berkhidmat dalam sektor awam dan swasta.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Nur-ul Afida Kamaludin; Ketua Pengarang Sin Chew Daily, Kuik Cheng Kang; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan IJM Corporation Berhad, Datuk Lee Chun Fai; serta Pengurus Besar HRC Holdings, Michael Leow Kean Teck turut menerima anugerah yang sama.
Pada majlis tersebut, Sultan Sharafuddin diiringi oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, ketika keberangkatan tiba ke Balairung Seri Istana Alam Shah.
BACA: Farida buat hal lagi, Istana Pahang terpaksa keluar amaran