Pasangan pura-pura wakil rumah anak yatim, rupanya rembat tabung derma dari kedai makan

Oleh AHMAD YUSOF MUSTAPHA

Kelicikan sepasang kekasih yang dipercayai aktif mencuri tabung derma di kedai makan akhirnya terbongkar

apabila mereka ditahan polis dalam serbuan di sebuah kondominium di Klebang, Melaka pada 4 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Christopher Patit, berkata suspek lelaki berusia 33 tahun dan wanita berusia 35 tahun itu ditahan

sekitar jam 12 tengah malam hasil operasi yang dilakukan berdasarkan risikan dan maklumat orang awam.

Sasaran Tabung Derma Madrasah dan Rumah Anak Yatim

Pasangan pura-pura wakil rumah anak yatim, rupanya rembat tabung derma dari kedai makan

Menurut Christopher, siasatan awal mendapati pasangan ini menyasarkan tabung derma milik madrasah dan rumah anak yatim yang diletakkan di kedai makan sekitar Melaka dan Johor.

“Modus operandi mereka adalah berpura-pura menjadi wakil madrasah, pondok, atau rumah anak yatim untuk mengambil tabung derma tersebut,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Aktif Sejak Dua Tahun Lalu

Beliau turut memaklumkan bahawa pasangan ini dipercayai aktif menjalankan kegiatan jenayah ini sejak dua tahun lalu dan mula aktif di Melaka dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini.

Polis menganggarkan suspek memperoleh pendapatan sekitar RM250 sehari hasil daripada kegiatan tersebut.

Penemuan Barangan Bukti

Dalam serbuan itu, polis merampas 54 tabung derma, sebuah kereta, pemotong besi, dan satu peket plastik lut sinar berisi ketulan mampat dedaun hijau disyaki ganja seberat kira-kira lapan gram.

Tindakan Undang-Undang

Berikutan penahanan itu, lapan kertas siasatan dibuka, termasuk:

Empat kes di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, tiga kes di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952, satu kes di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Christopher juga mendedahkan bahawa kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Mereka telah direman selama tujuh hari dan akan disambung reman untuk siasatan lanjut,” tambahnya.

BACA: Sejak 2 bulan mak jaga anak aku, aku pelik setiap kali pukul 2 pagi anak aku makan mamak, akhirnya anak pecah rahsia