Selepas video seorang wanita didakwa sengaja menyentuh lengan Fattah Amin di sebuah acara menjadi tular, pelakon itu tampil memberikan penjelasan sebenar.
Fattah, atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd Amin, 34, menjelaskan bahawa
wanita tersebut merupakan salah seorang kru penganjur acara yang bertugas mengiringinya sepanjang majlis berlangsung.
Menurut Fattah, beliau yakin tindakan wanita itu tidak disengajakan, sebaliknya dilakukan atas kapasiti tugas.
Wanita itu sebenarnya salah seorang kru penganjur. Dia cuba tarik saya ke bawah pentas kerana acara seterusnya perlu diteruskan.
“Dia hanya mahu mempercepatkan pergerakan saya. Namun, kebetulan kamera banyak menyorot situasi itu sehingga menimbulkan pelbagai tanggapan tidak baik tentang dirinya.
“Saya pun ketika itu tidak rela dipegang, malah tangan saya berada dalam poket. Saya yakin dia tidak berniat sesuka hati menyentuh saya,”** katanya kepada mStar.
Fattah berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Super Telemovie Unifi TV berjudul Larian Terakhir pada malam Khamis.
Tidak Sangka Insiden Jadi Tular
Fattah turut meluahkan rasa simpati terhadap wanita tersebut yang menerima kecaman hebat di media sosial akibat insiden tersebut.
“Kasihan juga pada dia. Namun, perkara seperti ini memang di luar kawalan. Saya sendiri terkejut apabila ia menjadi isu besar,” tambahnya.
Cabaran Baharu dalam Larian Terakhir
Dalam perkembangan lain, Fattah bakal membintangi telemovie terbaharu bertajuk Larian Terakhir yang akan ditayangkan pada 15 Disember ini.
Membawa watak sebagai seorang pelari berbakat, Fattah mengakui peranan tersebut mencabar dari segi fizikal kerana memerlukan stamina tinggi dan menghadapi risiko kecederaan.
**”Watak kali ini banyak melibatkan adegan berlari. Terus terang, ia mencabar dari segi stamina dan risiko kecederaan, tetapi saya tolak tepi semua itu.
“Sebagai pelakon, saya ingin mencabar diri melakonkan karakter di luar kebiasaan. Saya berharap peminat dapat menerima baik lakonan ini dan saya tidak sabar mendengar maklum balas mereka,”** ujarnya.
Selain Fattah, Larian Terakhir turut dibintangi Amyra Rosli dan Fahrin Ahmad. Telemovie ini akan disiarkan melalui aplikasi Unifi TV serta saluran Degup.
BACA: Risau kena saman macam ahli parlimen Kepala Batas, Razman mohon maaf dengan Nga Kor Ming