Seorang gadis berusia 21 tahun maut dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang ke Singapura selepas bercuti di Genting Highlands, Selasa lalu.
Menurut laporan portal berbahasa Mandarin, Shin Min Daily News,
Terdapat kisah menyayat hati di sebalik pemergian mangsa, yang dikenali sebagai Alssa Lyn Tay.
Tay dilaporkan menaiki motosikal bersama teman lelakinya berusia 23 tahun, yang baru dikenalinya selama tiga bulan.
Malangnya, motosikal jenis Kawasaki Ninja ZX-10 yang ditunggang oleh teman lelakinya hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan di Kilometer 49.5, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
Maut di tempat kejadian
Tay disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala teman lelakinya terselamat tetapi mengalami kecederaan pada kaki.
Bapa tiri Tay, yang dikenali sebagai Xu, berkongsi kenangan terakhir bersama mendiang ketika mereka bertemu di Genting Highlands pada malam sebelum kejadian. Tay dikatakan ingin membuat kejutan kepada ibunya setelah memperoleh pasport baharu.
“Saya sudah memujuk Tay supaya tidak datang ke Genting Highlands dengan motosikal, tetapi dia tetap berkeras mahu bertemu ibunya,” kata Xu.
Xu dan isterinya tiba lebih awal di Genting Highlands dengan menaiki kereta, sementara Tay dan teman lelakinya sampai pada pukul 1 pagi Selasa. Mereka menghabiskan masa selama empat jam bersama sebelum Tay dan pasangannya memutuskan untuk pulang ke Singapura pada pukul 5 pagi.
“Saya sudah meminta Tay untuk pulang bersama kami menaiki kereta, tetapi dia tetap ingin menunggang motosikal dengan teman lelakinya. Saya tidak sangka itulah kali terakhir saya bertemu Tay,” ujar Xu.
Upacara pengebumian penuh pilu
Jenazah Tay dikebumikan pada keesokan harinya, Rabu. Xu menggambarkan mendiang sebagai seorang yang ceria dan disenangi ramai. “Ramai rakan Tay hadir memberikan penghormatan terakhir selepas mendengar berita ini,” katanya.
Teman lelaki Tay, yang hadir dalam upacara tersebut dengan berkerusi roda dan memakai pakaian hospital, memohon maaf kepada keluarga mendiang. Namun, dia enggan ditemu bual oleh wartawan.
Xu menutup perbualan dengan berkata, “Nasi sudah menjadi bubur, tiada apa lagi yang boleh diubah.”
BACA: Ini 6 cara betul rebus kerang, jangan skip 1 pun, pasti isi kerang tak kecut