Walaupun berbeza pandangan politik, wakil rakyat PN pertahan cadangan Adun Pulau Pinang naik gaji

Oleh ISMAIL YAHYA

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Air Tawar, Azmi Alang, mempertahankan cadangannya untuk menaikkan gaji wakil rakyat di Pulau Pinang

walaupun mendapat kritikan daripada warganet yang mempertikaikan usul tersebut, terutamanya ketika rakyat sedang menghadapi tekanan kos sara hidup.

Wakil rakyat dari Perikatan Nasional (PN) itu berpendapat bahawa gaji asas yang diterima mereka iaitu

sekitar RM11,250 bersama elaun lain masih dianggap rendah jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

Azmi mendakwa, gaji ADUN di Pulau Pinang masih rendah meskipun negeri tersebut dianggap maju.

Beliau turut menambah bahawa keadaan ini lebih mencabar bagi wakil pembangkang yang tidak mendapat peruntukan sebanyak rakan-rakan mereka dari blok kerajaan.

Walaupun berbeza pandangan politik, wakil rakyat PN pertahan cadangan Adun Pulau Pinang naik gaji

“Orang yang komen di TikTok tu tak faham. Saya minta kenaikan sebab gaji kami memang rendah. Negeri lain banyak elaun yang ada… gaji kami pun digunakan untuk bantu rakyat,” katanya.

Beliau juga menceritakan bagaimana ADUN pembangkang sering diminta bantuan untuk pelbagai perkara, seperti bantuan cermin mata dan beras. “Duit datang dari mana? Kami yang di blok pembangkang ini, sekurang-kurangnya perlu tambahan RM10,000 sebulan.”

Azmi turut memberikan contoh, seperti ketika ribut, dia membantu membaiki 24 rumah, dan ketika banjir, dia menyumbang RM200 untuk membersihkan rumah.

“Demi membantu rakyat, saya cadangkan kenaikan gaji ADUN sebanyak 30% supaya kami dapat menampung pelbagai perbelanjaan,” katanya lagi.

Pada sidang DUN Pulau Pinang yang berlangsung dari 22 hingga 28 November lalu, Azmi mencadangkan agar Pulau Pinang mengikuti langkah Negeri Sembilan dengan menaikkan gaji menteri besar, exco, dan wakil rakyat mereka.

Namun, video ucapan Azmi yang berkaitan isu ini di TikTok mendapat reaksi kurang senang daripada warganet yang berpendapat bahawa kenaikan gaji tersebut tidak wajar, memandangkan kesukaran yang dihadapi oleh rakyat akibat peningkatan kos sara hidup.

Gaji ADUN Pulau Pinang kali terakhir dinaikkan pada tahun 2015, daripada RM6,000 kepada RM11,250. Selain itu, wakil rakyat pembangkang juga menerima peruntukan sebanyak RM60,000 setahun.

Azmi turut berharap agar peruntukan yang diterima oleh wakil rakyat pembangkang dapat disamaratakan, iaitu sekitar 60% hingga 70% daripada RM500,000 yang diberikan kepada ADUN kerajaan setiap tahun.

“Wang itu bukan untuk kegunaan peribadi, tetapi untuk membantu rakyat,” jelasnya.

BACA: ‘Mula-mula dia tak mengaku..’ Kakak mangsa langgar lari Mercedes terbakar kongsi keadaan adik