Seorang penolong pengurus eksekutif berusia 53 tahun didakwa di Mahkamah Majistret hari ini
atas tuduhan mencabul seorang wanita yang merupakan bekas penyampai berita televisyen terkenal, tiga bulan lalu.
Tertuduh, Mohd. Faizal Hussain, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Menurut pertuduhan, Mohd. Faizal didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap wanita berusia 54 tahun dengan cara memegang tangan mangsa bagi tujuan mencabul kehormatannya.
Kesalahan tersebut didakwa berlaku di sebuah hotel di Damansara pada pukul 1 tengah hari, 13 Julai lalu.
Oleh itu, pertuduhan dikenakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda, sebatan, atau mana-mana kombinasi hukuman tersebut.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan di mana tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi dalam kes ini.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Maryam Jamilah Md. Kamal, manakala tertuduh diwakili oleh peguam, Nor Afiqah Mohd. Ashriee.
Mahkamah menetapkan 20 November untuk sebutan semula kes ini.
BACA: Wanita kongsi pengalaman terkandas di Korea Selatan gara-gara ditipu Kim Seri