Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, menegaskan bahawa pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sabah
adalah hak budi bicara Yang di-Pertuan Agong, setelah mendapat nasihat daripada Ketua Menteri Sabah.
Melalui ciapan balas di X, Fahmi mengkritik kenyataan pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz,
Beliau yang mengkritik kerajaan berkaitan pelantikan Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang berkuat kuasa pada 1 Januari depan.
“Sebelum YB (Amira) membuat kenyataan tanpa asas fakta seperti ini, YB perlu menyemak terlebih dahulu Perkara (1) Perlembagaan Negeri Sabah yang jelas
menyatakan tentang tugas dan tanggungjawab dalam pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sabah,” tegas Fahmi.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi, turut melampirkan Perkara (1) Perlembagaan Negeri Sabah yang menggariskan tatacara pelantikan Yang di-Pertua Negeri.
Hari ini, Amira yang juga ADUN Puteri Wangsa, membangkitkan isu dakwaan rasuah terhadap Musa ketika beliau menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah, serta mendakwa kerajaan “meraikan perasuah”.
Pelantikan Musa berlaku di tengah-tengah kerjasama antara PH yang dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan BN dan Gabungan Rakyat Sabah – yang kini memimpin kerajaan negeri – dalam membentuk kerajaan persekutuan.
Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, yang juga berdepan dakwaan rasuah dan dilaporkan sedang berusaha mendapatkan sokongan Anwar, mencalonkan Musa untuk jawatan Yang di-Pertua Negeri.
Hari ini, Musa menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong di Kuala Lumpur. Beliau juga dikurniakan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun.
Musa akan memegang jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah selama empat tahun, yang berakhir pada 31 Disember 2028.
BACA: Penyampai radio meninggal dunia, sempat buat live Tiktok layan peminat