Pelawak Shuib bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang perbicaraan berhubung enam pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan, termasuk penalti berjumlah RM1.6 juta.
Memetik laporan dari Mstar, Shuib yang juga dikenali dengan nama Shahmira Muhammad,
Beliau berharap kes tersebut dapat berjalan dengan lancar dan diselesaikan secara baik.
“Saya harap perbicaraan ini berjalan dengan baik, malah hubungan kami dengan pihak Kastam pun baik.
Insya-Allah, kita akan cuba selesaikan dengan cara yang baik. Saya tiada masalah, saya akan beri kerjasama penuh dan mengikuti proses perundangan ini,” katanya.
Shuib menambah, perkara seperti ini adalah perkara biasa dalam dunia perniagaan, dan dia berharap tahun 2025 akan menjadi tahun yang lebih baik untuknya.
Walaupun baru tiba di Malaysia selepas bercuti di Tokyo, Jepun, Shuib tetap hadir di mahkamah untuk perbicaraan tersebut dan meluahkan rasa lega kerana urusan tersebut dipermudahkan.
“Apabila saya dimaklumkan mengenai sebutan pada 18 Disember ini, saya agak terkejar-kejar tetapi sempat tiba di mahkamah. Walaupun saya baru tiba di Malaysia pada pukul 6.50 pagi tadi, saya bersyukur semuanya dipermudahkan,” ujarnya.
Pada 14 November lalu, Shuib bersama pengarah syarikat Bubblebee Sdn. Bhd., Kho Choon Guan, mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan termasuk penalti berjumlah RM1.6 juta yang berlaku pada tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa gagal membayar cukai perkhidmatan berjumlah RM1,191,153.78 serta penalti sebanyak RM454,000 bagi tempoh antara 1 Januari hingga 31 Disember tahun lalu.
Tindakan tersebut didakwa dilakukan di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Cawangan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, Selangor.