Penyanyi dan usahawan kontroversi, Ifa Raziah, tampil menjelaskan dakwaan memperlekehkan kaum Iban
Menerusi sebuah komen di media sosial yang telah menjadi tular baru-baru ini.
Dalam temu bual bersama OhBulan!, Ifa, atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha, 49, mengakui terkejut apabila isu tersebut mula viral sejak tiga hari lalu.
“Pertama sekali, saya sangat terkejut. Saya ada komen dekat video Kelly Azman dan perkara itu
sebenarnya berlaku enam minggu lepas. Saya tak sangka ia jadi viral tiga hari lalu semasa saya berada di Singapura.
“Saya tak tahu apa yang mereka tulis dan komen dekat video itu. Rupa-rupanya isu ini timbul kerana saya tulis komen ‘Ingatkan perempuan Iban mana yang tersesat’ di video tersebut.”
Menurut Ifa, komen tersebut hanya gurauan antara dia dan Kelly, yang merupakan sahabat baiknya. Dia menegaskan bahawa tidak pernah terlintas di hatinya untuk menghina mana-mana etnik, apatah lagi melakukan body shaming atau face shaming.
“Sebenarnya, saya kagum dengan hiasan kepala yang dipakai Kelly dalam video itu. Sangat cantik! Saya tak pernah ada niat buruk, apatah lagi nak sentuh isu perkauman. Kawan-kawan saya ramai dari Sabah dan Sarawak.
“Ketika menulis komen itu, saya cuma menyatakan apa yang saya lihat, iaitu Kelly memakai hiasan bunga di kepala, yang jarang dipakai orang Semenanjung. Bila dia menyanyi dengan gaya itu, saya cuma gurau kata dia ‘tersesat’. Demi Allah, semua itu telah disalah tafsir.”
Bersedia Mohon Maaf Secara Umum
Ifa turut memaklumkan bahawa dia telah bersedia untuk membuat sidang media dan memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak yang terasa hati.
“Saya tunggu pulang dari Singapura untuk beri penjelasan. Ini masa yang sesuai untuk saya jelaskan. Sebab itu saya tak buat live atau apa-apa sebelum ini.
“Untuk orang Borneo, Sabah, Sarawak, dan kaum Iban, demi Allah, saya tiada niat langsung untuk mengguris hati sesiapa. Saya susun sepuluh jari, memohon maaf dengan seikhlas hati.”
Harap Salah Faham Dapat Diselesaikan
Ifa berharap penjelasan yang diberikan dapat menamatkan kontroversi tersebut.
“Saya harap apa yang saya jelaskan ini dapat menyelesaikan isu ini. Saya tiada niat buruk, hanya bergurau dengan sahabat baik saya. Mungkin orang salah faham, tetapi bagi kami ini perkara biasa.
“Jika saya jahat dan tak bertanggungjawab, saya boleh sahaja berdiam diri. Tetapi, saya tampil kerana saya tidak lakukan kesalahan seperti itu. Saya harap semua dapat menerima penjelasan saya.”
Sebelum ini, komen Ifa telah dikongsikan oleh seorang pengguna aplikasi Threads yang memuat naik tangkap layar komen tersebut. Tindakan itu menyebabkan ramai netizen mempersoalkan sensitiviti Ifa terhadap isu kaum.
Rata-rata netizen meluahkan rasa kesal dengan tindakan Ifa yang dianggap kurang peka terhadap sensitiviti masyarakat, khususnya etnik kaum Iban di Sarawak.