Orang luar jangan sibuk, Awie ingatkan Mel?

Oleh ISMAIL YAHYA

Vokalis kumpulan Wings, Awie, menasihatkan orang luar agar tidak mencampuri urusan kumpulannya yang kini berada di puncak kejayaan.

Pesanan ini susulan kenyataan daripada Mel, bekas vokalis Wings, yang menyuarakan hasrat agar anggota asal Wings dapat bersatu semula sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.

Menurut Awie, dia turut berkongsi keinginan untuk kembali bersama JoBranko,

namun situasi semasa menyukarkan hal tersebut kerana dia tidak pasti di mana kedudukan dua lagi bekas anggota Wings, Sham dan Edrie.

“Saya juga ingin bersama (JoBranko), tetapi kalau saya bersama dia, dua orang ini (Sham dan Edrie) saya nak letak di mana?

Orang luar jangan sibuk, Awie ingatkan Mel?

Keinginan ini hanya melibatkan empat orang saja (Awie, Eddie, Black, dan JoBranko).

Itu tidak adil. Kita sebenarnya mahu, tetapi dalam perjuangan kita sekarang, biarlah kita teruskan jalan yang sedang kita bina.

Orang luar tak perlu masuk campur kerana Joe (JoBranko) pun sudah ‘move on’, begitu juga saya.

Jadi tak ada apa-apa lagi yang perlu dibangkitkan. Barbarik (band Joe sekarang) juga sebuah kumpulan yang hebat.

Mereka boleh teruskan tanpa masalah,” kata Awie dalam sidang media Konsert TRIAD, semalam.

Awie, yang kini berusia 56 tahun, menyeru pihak yang tidak lagi terlibat dengan Wings agar membiarkan kumpulan itu diuruskan oleh anggota sedia ada.

“Kita semua semakin berusia. Tak perlu nak kecoh-kecoh lagi. Saya pun selama ini diam saja, tak pernah bising tentang apa-apa. Tapi bila ada orang luar bercakap, untuk apa? Jangan keruhkan keadaan.

Nanti orang salah faham dan nampak buruk pada saya. Saya tak mahu orang tuduh saya kerana saya tak pernah buka mulut soal peribadi atau apa-apa pun,” katanya sambil meminta agar isu ini tidak diperbesarkan.

Beliau juga menegaskan bahawa JoBranko sudah menemui haluan terbaik bersama Barbarik dan mengagumi band tersebut.

“Saya suka tengok band mereka. Persembahan mereka sangat bagus. Teruskan, tak perlu lagi toleh ke belakang.

Masing-masing sudah bahagia dengan jalan masing-masing. Mereka sudah berjaya, jadi teruskan usaha yang bagus itu. Tak perlu fikir apa yang telah berlalu,” tambah Awie.

BACA: Sanusi yakin RCI Mamali akan terhalang jika Tun M kembali mentadbir