Tiada peluang kedua atau lanjutan tempoh akan diberikan kepada penjawat awam yang tidak menandatangani opsyen Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, menjelaskan bahawa kerajaan telah memberikan tempoh yang mencukupi,
iaitu dari 21 Oktober hingga 30 November lalu, bagi penjawat awam membuat pilihan sama ada untuk menerima SSPA atau kekal dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM).
“Apabila tempoh itu telah tamat, tiada lagi peluang untuk mereka membuat pilihan.
Oleh itu, mereka perlu kekal dalam sistem yang telah menjadi pilihan mereka.
“Sebilangan yang tidak memilih opsyen SSPA ini sebenarnya sangat kecil.
Bagi saya, ini perkara biasa dalam mana-mana proses pemilihan kerana pasti ada yang menerima dan ada yang tidak,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa tiada tindakan akan diambil terhadap mereka yang tidak memilih opsyen SSPA.
Menurut laporan, hanya 0.13 peratus atau kira-kira 1,400 daripada 1.5 juta penjawat awam tidak menandatangani opsyen SSPA.
Wan Ahmad Dahlan turut menyampaikan penghargaan kepada penjawat awam yang memilih dan menandatangani opsyen SSPA, yang telah mula menikmati kenaikan gaji pertama mereka semalam selepas pelarasan di bawah skim tersebut.
“Ini membuktikan apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, telah dilaksanakan,” tambahnya.
BACA: Ayam goreng meletup depan muka, bunyi macam tayar meletup