Ketika rakyat dan negara berada dalam suasana yang tenang, tanpa kontroversi politik yang membelenggu,
Tiba-tiba kita dikejutkan dengan tindakan beberapa persatuan perniagaan yang ingin menaikkan harga barang dan perkhidmatan melalui media sosial mulai tahun depan.
Susulan itu, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah membuka beberapa kertas siasatan terhadap persatuan
serta ahli jawatankuasa kerana disyaki terbabit dalam perlakuan kartel yang mengumumkan kenaikan harga perkhidmatan dan barangan.
Hakikatnya, melihat kepada prestasi ekonomi domestik dan antarabangsa, persatuan berkenaan tidak mempunyai asas kukuh untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan.
Jika benar seperti yang didakwa, persatuan tersebut seolah-olah melakukan sabotaj terhadap ekonomi negara dan pada masa yang sama menekan kehidupan rakyat yang masih berdepan dengan peningkatan kos sara hidup serta inflasi.
Menaikkan harga barang secara tidak berpatutan hanya akan membebankan pengguna, malah dalam keadaan tertentu, boleh melanggar undang-undang negara. Jika benar berlaku, maka wujudlah kartel yang menentukan harga barang dan perkhidmatan.
Persatuan perniagaan ini perlu sedar bahawa kenaikan harga barang akan memberikan kesan negatif kepada masyarakat, ekonomi, dan kestabilan sosial. Kehidupan golongan berpendapatan rendah dan sederhana akan terjejas apabila harga barang meningkat.
Peningkatan harga barang yang tidak munasabah boleh mencetuskan inflasi, sekali gus melemahkan kestabilan ekonomi negara. Golongan berpendapatan rendah menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk jatuh ke dalam kemiskinan akibat kenaikan kos hidup.
Selain itu, kenaikan harga barang yang tidak berasas boleh menimbulkan kemarahan rakyat, yang berpotensi mencetuskan protes atau ketidakstabilan sosial.
Hal ini berisiko terhadap kedudukan kerajaan yang perlu menangani isu pencatutan dan mengawal harga barang. Jika kerajaan gagal bertindak, rakyat akan kehilangan kepercayaan terhadap pentadbiran, yang boleh mencetuskan kacau ganggu politik.
Oleh itu, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak seharusnya membiarkan pakatan menaikkan harga berlaku tanpa tindakan.
Pemantauan, kawalan, dan penguatkuasaan perlu dipertingkatkan dengan segera. KPDN tidak boleh menunggu laporan daripada pengguna sebelum bertindak.
Langkah awal intervensi perlu dilakukan oleh KPDN bagi menghalang perancangan persatuan perniagaan yang mahu menaikkan harga barang. Pada masa yang sama, memastikan peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
Akta ini memberikan kuasa kepada kerajaan untuk mengawal harga barangan dan perkhidmatan serta mencegah amalan pencatutan.
Peniaga yang didapati menaikkan harga secara tidak munasabah harus dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Mendepani isu ini, pengguna juga perlu memainkan peranan aktif sebagai ‘mata dan telinga’ kerajaan dengan memantau serta melaporkan sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah.
Kerjasama antara pengguna dan agensi penguatkuasaan amat penting untuk memastikan wujudnya pasaran yang lebih adil dan yang paling utama, melindungi kepentingan semua pihak.
BACA: Pesawat baru Malaysia Airlines check in bengkel lepas seminggu dapat