Rumah penuh 1 tan sampah, warga emas terpaksa tidur di beranda berdindingkan selimut

Oleh AHMAD YUSOF MUSTAPHA

Hampir enam jam diambil untuk membersihkan dan mengeluarkan kira-kira satu tan sampah dari rumah seorang wanita warga emas di Taman Koperasi, dekat sini.

Kerja-kerja pembersihan diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, Haris Salleh Hamzah

Bagi membantu membersihkan kediaman Halimah Mat Arop, 75, yang tidak terurus sejak beberapa tahun lalu.

Seramai 80 sukarelawan bukan sahaja mengeluarkan barangan lama di rumah tersebut, malah membersihkan rumah serta kawasan sekitar yang dipenuhi semak samun.

Menurut Haris Salleh, beliau amat sedih melihat nasib Halimah yang tidak mampu mengurus rumahnya sendiri kerana usianya yang sudah tua.

Rumah penuh 1 tan sampah, warga emas terpaksa tidur di beranda berdindingkan selimut

Katanya, keadaan rumah sangat tidak terurus sehingga sukar untuk melangkah masuk kerana dipenuhi timbunan pelbagai barangan yang boleh dianggap sebagai sampah.

“Rumahnya dalam keadaan sangat teruk, pelbagai barang ditinggalkan begitu sahaja hingga menyukarkan untuk bergerak di dalam rumah. Dia terpaksa tidur di beranda rumah yang ditutup dengan selimut sebagai tabir,” katanya.

Kawasan rumah juga berbau busuk akibat banyak kucing yang dipelihara, yang sering membuang najis merata-rata. Halimah memberi alasan bahawa dia tidak mampu menguruskan rumah kerana sudah berusia dan terpaksa bekerja di kawasan Pasar Tani Jerantut.

Kerja-kerja pembersihan ini melibatkan pelbagai agensi seperti SWCorp, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Daerah Jerantut (MDJ) dan Pejabat Kesihatan Daerah Jerantut.

Menurutnya, Halimah turut mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak 2021.

Sementara itu, Halimah meluahkan rasa terima kasih kepada sukarelawan yang membantu membersihkan rumahnya, kerana dia sudah tidak mampu melakukannya sendirian.

BACA: Akhirnya terjawab kenapa harga barang naik walaupun ekonomi negara bagus