Selain harta pusaka, ekor ikan keli juga boleh jadi punca silaturrahim terputus

Oleh NADIA HARON

Siapa sangka, bahagian kecil seperti ekor ikan keli mampu mencetuskan perselisihan atau ketegangan.

Isu ini menjadi tular apabila seorang pengguna Facebook, Khairul Ezuwan, berkongsi kisah lucu mengenai pengalaman dengan ekor ikan keli.

“Nampak kecil, tapi jangan main-main. Ini pun boleh jadi punca putus kawan. Jangan ambil ekor ikan keli dalam pinggan orang.

Dia bukannya tak nak makan, tapi nak makan ‘last’ (akhir sekali). Saya pernah buat kat kawan, sampai sekarang dia masih ungkit,” tulisnya.

Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai, di mana rata-rata pengguna media sosial bersetuju bahawa ekor ikan keli adalah bahagian paling istimewa dan digemari, terutamanya apabila ia digoreng rangup.

Selain harta pusaka, ekor ikan keli juga boleh jadi punca silaturrahim terputus

Seorang pengguna, Shaiful Nizam, mengakui dia sanggup tidak membeli lauk ikan keli jika bahagian hujung ekornya tiada.

“Kalau tiada hujung ekor keli, sanggup tak nak beli ikan keli goreng,” katanya.

Hany Mia Azman pula berkongsi pandangan yang sama, mengatakan bahawa ekor

ikan keli yang belum digoreng biasanya tidak menarik perhatian. Namun, sebaik sahaja ia dihidangkan, ia menjadi rebutan.

“Saya setuju. Ekor keli sebelum digoreng memang tak dipandang, bahkan tak ada siapa pun berkenan.

Tapi bila dah digoreng, tambah pula tengah panas-panas makan dengan nasi dan kicap, biasanya ekor tu yang ghaib dulu,” jelasnya.

Perebutan Ekor di Kalangan Keluarga

Nurulaini Ariffin turut berkongsi pengalaman serupa, di mana anak-anaknya sering berebutkan bahagian ekor ikan keli, sehingga ada yang merajuk jika tidak mendapatkannya.

Melati Omar pula memberi nasihat kepada mereka yang berkongsi hidangan ikan keli.

“Apa-apa yang ada dalam pinggan, yang terakhir tu bukan tak nak makan, tapi simpan untuk akhir sekali.

Nak meratah dan menikmati. Dilarang keras untuk ambil,” katanya secara berseloroh.

Kesimpulannya, walaupun hanya bahagian kecil, ekor ikan keli ternyata mempunyai nilai istimewa bagi ramai orang.

Jadi, lain kali sebelum mengambil ekor ikan keli dari pinggan orang lain, pastikan ia bukan ‘simpanan akhir’ mereka!

BACA: Penyokong kerap check in gua punca old trafford jadi sarang tikus?