Mula-mula kucing, kali ini anjing pula jadi mangsa pembunuhan bersiri di UM, manusia je belum lagi

Oleh SHUHADA BUSTAMAN

Satu lagi bangkai kucing ditemui berhampiran gimnasium Universiti Malaya (UM), menjadikan jumlah kes haiwan dibunuh di kampus itu semakin membimbangkan.

Sebelum ini, dilaporkan lima ekor kucing dipercayai menjadi mangsa pembunuh misteri di lokasi yang sama.

Menurut laporan Harian Metro, seekor anjing turut menjadi mangsa dalam kejadian yang mencetuskan persoalan mengenai individu yang tergamak melakukan perbuatan kejam ini.

Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) dalam satu kenyataan semalam menyatakan bahawa kes tersebut telah dilaporkan kepada pejabat keselamatan kampus, diikuti dengan laporan polis.

“Kami telah menghubungi pejabat keselamatan dan meminta supaya kawalan akses ke kampus diperketatkan.

Mula-mula kucing, kali ini anjing pula jadi mangsa pembunuhan bersiri di UM, manusia je belum lagi

Selain itu, usaha sedang dilakukan untuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” jelas kenyataan itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, mengesahkan kepada Harian Metro bahawa laporan mengenai kejadian ini telah diterima dan siasatan sedang dijalankan. “Kes masih di peringkat awal siasatan,” katanya.

Laporan mendapati bangkai kucing dan anjing tersebut ditemui dalam keadaan mengerikan, dengan abdomen yang dikelar dan organ dalaman, termasuk usus, dikeluarkan.

Insiden ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat umum.

Terdapat spekulasi bahawa sekurang-kurangnya dua individu terlibat dalam tindakan tidak berperikemanusiaan ini, dengan dakwaan bahawa ubat bius digunakan untuk menidurkan haiwan sebelum serangan dilakukan.

Sebagai tindak balas, sekumpulan sukarelawan berjaya menyelamatkan 22 ekor kucing jalanan di kawasan kampus bagi melindungi mereka daripada menjadi mangsa seterusnya.

Kejadian ini turut mencetuskan perbincangan hangat di media sosial. Ramai mendesak pihak universiti dan pihak berkuasa untuk mengambil langkah tegas bagi menangkap pelaku serta memastikan keselamatan haiwan di kampus.

Selain menyelamatkan kucing jalanan, KMUM turut menyeru pihak universiti untuk memperketatkan kawalan keselamatan, termasuk mengehadkan akses ke kawasan kampus, memasang lebih banyak CCTV, dan meningkatkan rondaan keselamatan di lokasi yang dikenal pasti.

BACA: Che Ta tunggu masa sesuai jelaskan kenapa dia gagal bayar hutang Mara yang ramai nak tahu