Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk mengambil tindakan tegas dengan menggugurkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Desakan itu dibuat berikutan keputusan dan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap saman fitnah yang difailkan oleh Hannah terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Disember 2024, menolak saman fitnah tersebut
Ada yang difailkan oleh Hannah terhadap Musa berhubung kenyataan dalam satu forum di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 30 Januari 2020. Kenyataan itu merujuk kepada dakwaan bahawa Hannah Yeoh:
Berkaitan dengan usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian melalui bukunya “Becoming Hannah”; dan
Mempunyai hubungan dengan golongan evangelis dan Yahudi yang didakwa boleh merosakkan Islam dan negara.
Mas Ermieyati menyatakan bahawa dalam penghakimannya, Hakim Arziah Mohamed Apandi mendapati kenyataan Musa tidak bersifat fitnah, dan bahawa Hannah sendiri, melalui bukunya “Becoming Hannah”, mengakui peranannya sebagai ‘duta Tuhan’ dan usaha menyebarkan ajaran Kristian secara halus di Malaysia.
“Tindakan Hannah adalah bertentangan dengan undang-undang seperti yang dinyatakan dalam:
Seksyen 4(1)(a) Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor 1988 (Enakmen No 1/1988), yang menyatakan bahawa ‘seseorang melakukan kesalahan jika memujuk, mempengaruhi, atau menghasut orang Islam supaya menganut agama bukan Islam atau cenderung kepada agama itu’;
Seksyen 298(A)(1) Kanun Keseksaan, yang melibatkan tindakan yang menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, atau perasaan permusuhan, benci membenci, atau niat jahat atas alasan agama, serta tindakan yang mengancam keharmonian dan perpaduan agama.
“Bersatu menyeru perkara ini dibawa kepada perhatian Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, dan Majlis Raja-raja Melayu, serta meminta pertimbangan tindakan tegas terhadap Hannah dan semua pihak yang terlibat dalam gerakan evangelisme seperti yang didedahkan oleh Musa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mas Ermieyati, yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, menegaskan bahawa Bersatu turut mendesak Perdana Menteri mengambil tindakan segera dengan menggugurkan Hannah daripada jawatan awam atas pengakuannya yang bertentangan dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang Malaysia.
Bersatu, tambahnya, turut mendesak pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap kandungan buku “Becoming Hannah” yang didakwa mengandungi unsur penyebaran agama Kristian secara halus.
“Tindakan tegas ini perlu diambil untuk memastikan keharmonian agama di Malaysia terpelihara dan undang-undang negara dihormati oleh semua pihak,” tambahnya.
BACA; Mula-mula kucing, kali ini anjing pula jadi mangsa pembunuhan bersiri di UM, manusia je belum lagi