Pelakon veteran tersohor, Datuk Jalaluddin Hassan, yang bakal menyambut ulang tahun ke-71 pada Februari ini, membuat keputusan besar untuk berehat seketika daripada dunia hiburan.
Keputusan itu dibuat bagi memberi tumpuan kepada ibadah, termasuk menunaikan umrah bulan ini dan seterusnya melaksanakan ibadah haji pada musim ini.
Menurut Jalaluddin, keputusan ini hadir selepas beliau mendapatkan petunjuk melalui solat istikharah dan berasakan waktu ini adalah yang paling sesuai untuk memperkukuhkan amal ibadah.
“Saya memutuskan untuk berehat sekejap dari dunia hiburan. Bulan ini, saya akan menunaikan umrah, dan pada musim haji nanti, saya berniat untuk kembali ke Tanah Suci.
Saya terfikir, kalau tidak sekarang, bila lagi? Masa semakin singkat, dan alasan tidak boleh dibiarkan terus menunda niat ini,” katanya.
Keputusan itu diumumkan selepas Jalaluddin selesai beraksi dalam program Semarak Karya Agung: Pementasan Teater ‘Seorang Tua Di Kaki Gunung’ di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) Kedah semalam
Dalam teater prolifik karya Allahyarham Azizi Haji Abdullah itu, beliau membawakan watak utama sebagai Tukya, di bawah arahan pengarah teater terkenal, Dr. Norzizi Zulkifli.
Menyahut Panggilan Ibadah Bersama Isteri
Jalaluddin akan ditemani isterinya, Datin Rapidah Abd. Ghani, sepanjang perjalanan ibadah umrah dan hajinya. Meskipun tidak mendapat panggilan rasmi haji, beliau bertekad untuk menunaikan rukun Islam kelima itu melalui khidmat syarikat swasta.
“Memang kosnya lebih tinggi, tetapi saya fikir tentang keindahan ibadah di Tanah Suci.
Selepas umrah, naik haji pula. Saya yakin ini adalah masa terbaik untuk saya mengejar keberkatan di sana,” katanya.
Mengimbangi Kerjaya Seni dan Tanggungjawab Agama
Mengulas perkembangan kerjayanya, Jalaluddin mengakui kini lebih banyak terlibat sebagai duta kempen dan produk kesihatan berbanding aktif berlakon. Namun, beliau tetap teruja apabila diberi kepercayaan membawakan watak utama dalam teater ‘Seorang Tua Di Kaki Gunung’, meskipun tempoh latihan hanya seminggu.
“Saya hanya ada kurang seminggu untuk memahami watak dan berlatih bersama pelakon lain di Kedah. Bagaimana hasilnya? Saya serahkan kepada penonton untuk menilai,” katanya dengan rendah hati.
Keputusan ini mencerminkan sisi spiritual Datuk Jalaluddin yang semakin mendalam, seiring usianya. Beliau berharap perjalanan ibadah ini menjadi inspirasi kepada orang ramai untuk mendahulukan amal dan tanggungjawab kepada Allah.
BACA: Akibat produk Malaysia tak laku, kerajaan cadang ‘pau’ China dan Indonesia