Wisma KFC berubah jadi hotel mewah, apa sebenarnya yang jadi?

Oleh KAMARUL HISHAM ABDULLAH

Hap Seng Consolidated Bhd telah melakukan transformasi besar-besaran terhadap bekas bangunan ikonik ‘Wisma KFC’ yang terletak di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur,

Dengan menjadikannya sebuah hotel mewah bernama Hyatt Centric City Centre Kuala Lumpur.

Projek pengubahsuaian ini dilakukan empat tahun selepas Hap Seng membeli bangunan tersebut daripada Royal Group Singapura dengan harga yang dilaporkan mencecah RM190 juta.

Menurut laporan dari Business Times, Manfred Weber, Pengarah Pengurusan Hartanah di Hap Seng Land Sdn Bhd, menyatakan bahawa transformasi

Wisma KFC dari sebuah kompleks pejabat kepada sebuah aset hospitaliti merupakan satu projek yang unik dan memberi nilai tambah kepada kawasan sekitar.

Wisma KFC berubah jadi hotel mewah, apa sebenarnya yang jadi?

Beliau turut menyebut bahawa perubahan ini melengkapi pembangunan yang telah sedia ada di sekitar kawasan tersebut.

Wisma KFC, yang dibina pada era 1990-an, pernah menjadi ibu pejabat bagi KFC Holdings (Malaysia) Bhd. Dengan keluasan lantai kasar 342,145 kaki persegi di atas tanah seluas 0.5 ekar, bangunan ini merupakan sebahagian daripada sejarah bandaraya Kuala Lumpur.

Sebelum diambil alih oleh Hap Seng, hartanah ini telah dibeli oleh anak syarikat Royal Group, Expert Rewards Sdn Bhd, dengan harga RM130 juta daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ia juga mendapat kelulusan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk dijadikan sebuah hotel mewah.

Melalui pembelian ini, Hap Seng terus memperkukuhkan kedudukannya dalam sektor perhotelan menerusi anak syarikatnya, Sunrise Spring Sdn Bhd. Hyatt Centric City Centre Kuala Lumpur kini menjadi hartanah Hyatt Centric kedua di Malaysia, selepas pembukaan cawangan pertama di Kota Kinabalu, Sabah.

BACA:Puad Zarkashi bongkar sisi gelap Muhyiddin dan Pas di perhimpunan solidariti Najib