Pendapatan dan komitmen bulanan sering dianggap sebagai topik sensitif yang sepatutnya kekal sebagai rahsia peribadi.
Namun, sejak kebelakangan ini, semakin ramai individu, khususnya pasangan kekasih, mula mempersoalkannya atas alasan ingin mencari pasangan yang sekufu demi mengelakkan konflik kewangan atau perceraian di kemudian hari.
Tidak kurang juga yang terpaksa mengajukan soalan ini kerana desakan keluarga.
Segelintir wanita, misalnya, berharap pasangan mereka memiliki pekerjaan stabil, sekali gus memenuhi harapan ibu bapa yang menetapkan “piawaian tertentu”.
Tuntutan Keluarga Jadi Sebab
Seorang wanita berkongsi dilema di aplikasi Thread, bertanyakan pendapat netizen tentang bertanya gaji lelaki yang baru dikenali.
“Kalau baru kenal perempuan dan dia tanya gaji anda berapa, anda akan jawab tak?” soal wanita itu, menzahirkan keresahannya.
Wanita itu menjelaskan bahawa soalan tersebut bukanlah atas kehendaknya sendiri, tetapi memenuhi permintaan ibunya yang menetapkan bakal pasangan perlu berpendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan.
“Bukan apa, mak suruh cari lelaki gaji RM2,000 ke atas. Kalau kurang, tak dapat la. Jadi, okay ke kalau perempuan tanya? Macam mana nak mula?” luahnya lagi.
Namun, dia juga meluahkan rasa serba salah kerana individu yang ingin dikenalinya hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bekerja di kedai makan keluarga dengan pendapatan yang dikongsi bersama bapanya, yang juga menyara dua isteri.
Reaksi Warga Maya: Bijak atau Biadab?
Pertanyaan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi daripada netizen, termasuk lelaki yang rata-rata menganggap topik gaji sebagai sesuatu yang sangat peribadi.
Berikut antara komen yang diterima:
“Kalau baru kenal, tanya gaji macam tak kena. Kalau nak tahu, lebih baik cakap terus terang mak awak nak menantu gaji RM2,000 ke atas.”
“Ada cara lain. Cuba bincang perancangan selepas kahwin seperti belanja rumah dan keperluan. Dari situ, anda boleh tahu sama ada dia stabil atau tidak.”
“Kadang-kadang lelaki rasa perempuan yang tanya soal gaji macam ni sebagai mata duitan. Kena pandai berkomunikasi.”
Namun, ada juga yang berpendapat meletakkan kriteria gaji tertentu sebagai prasyarat untuk perkahwinan boleh menyukarkan keadaan, terutama bagi lelaki yang baru memulakan kerjaya.
“Aku dulu gaji RM1,500 je. Kalau isteri letak kriteria macam ni, memang aku dah lama cabut.”
Bijak Berbicara Mengenai Kewangan
Topik kewangan dalam hubungan seharusnya dibincangkan dengan teliti tetapi penuh hikmah. Tindakan bertanya secara langsung mungkin disalah tafsir sebagai biadab atau terlalu materialistik.
Sebaliknya, cubalah membincangkan perancangan masa depan bersama untuk memahami keupayaan pasangan secara tidak langsung.
Adakah soalan tentang gaji perlu diajukan? Jawapannya bergantung kepada cara penyampaian dan niat sebenar individu itu. Yang penting, komunikasi harus jujur tetapi tidak menyinggung perasaan.
BACA:Â Ini cara atasi masalah jika gagal bayar pinjaman bank, tak perlu mengamuk jika kereta ditarik.