Lelaki kongsi cara lalu RFID percuma ramai tak tahu!

Oleh AHMAD YUSOF MUSTAPHA

Lorong Radio Frequency Identification (RFID) memang menjadi kemudahan yang sangat memudahkan bagi ramai pengguna plaza tol.

Namun, tidak semua orang menggunakan kemudahan ini dengan cara yang betul.

Ada segelintir pemandu yang memanfaatkan lorong RFID untuk menipu pengguna lain.

Menerusi perkongsian di Threads oleh @hrzrfn, beliau berkongsi rakaman dashcam yang menunjukkan pengalamannya berhadapan dengan situasi ‘scam RFID’.

Situasi ini telah mencetuskan perbincangan hangat di kalangan netizen.

Lelaki kongsi cara lalu RFID percuma ramai tak tahu!

Menurut @hrzrfn, kejadian ini dapat dikesan apabila kenderaan di hadapan memasuki lorong RFID tetapi tersangkut kerana ketiadaan pelekat RFID pada kenderaan tersebut.

“Kalau baki tidak mencukupi, skrin akan menunjukkan mesej ‘baki tidak mencukupi’,” jelasnya.

Yang lebih mencurigakan, pemandu kenderaan di hadapan langsung tidak berusaha untuk mengundur agar sensor dapat mengesan RFID. “Kalau orang lain mungkin akan panik dan cuba mengundur bila RFID tidak dapat dikesan, dia tetap tenang dan terus menunggu di hadapan palang,” tambahnya.

Apa yang berlaku seterusnya adalah pemandu kenderaan di hadapan menunggu kenderaan di belakang untuk bergerak lebih dekat. Apabila kenderaan belakang bergerak ke hadapan dan sensor mengesan RFID mereka, palang akan terbuka dan kenderaan di hadapan pun memecut keluar.

Namun, kenderaan di belakang akhirnya tersangkut di lorong RFID tersebut kerana ‘terbayar’ untuk kenderaan di hadapan. Situasi ini adalah taktik penipuan yang berlaku tanpa disedari oleh ramai pemandu.

Oleh itu, @hrzrfn menasihatkan orang ramai untuk sentiasa menjaga jarak yang selamat ketika berada di lorong RFID agar tidak menjadi mangsa penipuan seperti ini. Banyak warganet yang mengucapkan terima kasih kerana beliau telah memperingatkan tentang perkara ini. Sebelum ini, ramai yang menganggap situasi ini sebagai masalah teknikal sistem, namun kini jelas ia adalah satu bentuk penipuan yang perlu dielakkan.