Ada menteri tawar RM1000 untuk potong rambut, dakwa persatuan

Ada menteri tawar RM1000 untuk potong rambut, dakwa persatuan

BUAT masa ini kerajaan masih tidak membenarkan kedai gunting rambut untuk beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Namun menerusi laporan berita pada Selasa, Presiden Persatuan Barber SeMalaysia TN Winda Mohd Tahir mendakwa ahlinya pernah ditawarkan RM1,000 daripada seorang menteri untuk potongan rambut biasa.

Malah menteri tersebut dikatakan sanggup menawarkan pemandu untuk menjemputnya ke rumah.Bagaimanapun berita itu turut mengejutkan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditanya mengenai pekara tersebut pada sidang media harian di Putrajaya, Selasa petang.

“Berita baharu ni. Saya pun tak dapat berita ini. Dari segi peraturan memang tidak dibolehkan.

“Bagaimanapun itu berita yang tak dapat disahkan, jadi saya tak boleh beri jawapan ya atau tidak,” katanya.

Tambahnya lagi, prosedur operasi standard (SOP) mengenai perkara itu tetap sama.

“Setakat hari ni gunting rambut masih dalam dalam senarai terlarang… negative list.

“Jadi tak bolehlah sama ada di rumah, ke pejabat ke atau ke kedai gunting, sama saja tak boleh,” katanya.

Pada 28 April lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Exco Perak, Razman Zakaria didakwa di Mahkamah Majistret Gerik atas tuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kedua-duanya didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh.

Beberapa keping gambar Dr Noor Azmi, Razman dan beberapa individu berkumpul menikmati jamuan di Lenggong, tular di media sosial pada 18 April lalu.

Berita Penuh :https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2020/05/12/menteri-tawar-rm1000-kepada-tukang-gunting-ismail-sabri-terkedu-wartawan-minta-komen—berita-baharu-ni-ikut-sop-tak-bolehlah