SUDAH menjadi tradisi setiap kali tibanya hari raya untuk kita kunjung-mengunjung kenalan serta sanak saudara bagi merapatkan ukhwah.
Jadi sepanjang bulan Syawal, pasti ada sahaja tetamu yang datang bertandang ke rumah untuk beraya.
Sebagai tuan rumah, sudah tentu kita melakukan pelbagai persiapan seperti mengemas dan menghias kediaman serta menyediakan juadah untuk meraikan tetamu.
Tidak terbayang betapa hampanya perasaan apabila selepas semua persiapan dilakukan, namun tetamu yang dinantikan langsung tidak kunjung tiba sebagaimana kisah yang dikongsikan oleh seorang individu di laman X.
“Actually semalam ada orang plan nak datang rumah. Jadi ibu saya menghabiskan banyak masa untuk melakukan persiapan dan memasak tapi sampai malam tak sampai. Lepas tanya, baru dia kata tak jadi.
“Sangat mengejutkan bagaimana pada 2024 perkara macam ni masih berlaku,” demikian tulisnya dalam bahasa Inggeris.
Menurut individu berkenaan, dia kecewa apabila tetamu berkenaan langsung tidak memaklumkan mengenai perubahan rancangan mereka sehingga membuatkan keluarganya tertunggu-tunggu.
“Satu WhatsApp ringkas ‘maaf tak dapat mai’ sudah cukup beri kesan baik.
“Tak marah pun kalau cakap tak boleh datang, cuma beritahu saja. Kita okay saja,” tulisnya lagi.
Tambah individu berkenaan, juadah yang sudah dimasak oleh ibunya kemudian diberikan kepada saudara mara mereka yang tinggal berdekatan.
“Sekadar peringatan, jika anda tidak dapat datang, sila maklumkan awal dan jangan biarkan tuan rumah menunggu dengan sia-sia,” tulisnya lagi.
Ciapan individu tersebut hingga kini meraih lebih 7,200 ulang kicau selain dibanjiri komen netizen yang rata-ratanya berkongsi pengalaman serupa.
komen raya
“Dah siap nak keluar, kereta pun dah start, tak jadi keluar, masak pula. Tunggu dari Zohor sampai lepas Asar. Last sekali tak datang.
“Terjadi kepada keluarga saya tahun lalu. Lepas daripada kejadian tu, bila my mom tegur, terus tahun ni tak datang dan bertanya khabar. Tapi, kami ok saja. Tak datang raya, tak kisah pun… tak merugikan..
“Beritahu pukul 12 tengah hari, mak siap goreng ikan semua sampai ke Asar tak muncul. Akhirnya abah bawa makanan pergi beraya. Waktu maghrib tiba-tiba call tanya kenapa rumah tak ada orang,” demikian antara komen netizen.