Ada sebab rupanya kena pakaian sukan dipanggil jersi, ini asal usul ramai tak tahu

Oleh AHMAD YUSOF MUSTAPHA

Bagi mereka yang terlibat dalam kerja berkumpulan atau aktiviti tertentu, pakaian seragam atau uniform adalah satu keutamaan yang penting.

Selain daripada menjadi identiti pasukan, keseragaman pakaian memudahkan untuk membezakan pasukan tersebut daripada yang lain.

Keseragaman ini amat ketara dalam dunia sukan, seperti dalam bola sepak, hoki, badminton, dan banyak lagi.

Dalam dunia sukan, pakaian seragam ini biasanya dipanggil sebagai jersi.

Menurut Liberty Champion, amalan memakai pakaian seragam dalam sukan mula muncul pada akhir abad ke-19.

Ada sebab rupanya kena pakaian sukan dipanggil jersi, ini asal usul ramai tak tahu

Atlet-atlet dalam sesuatu liga akan memakai jersi sebagai sumber identiti pasukan dan juga sebagai medium kreativiti artistik mereka.

Tetapi, mengapa pakaian seragam atlet dipanggil sebagai jersi, adakah ada kaitan dengan tempat kejadian?

Mengapa dipanggil ‘jersey’ atau jersi?

‘Jersey’ mengambil namanya daripada sebuah pulau, iaitu Pulau Jersey yang terletak di bawah British.

Penduduk tempatan Pulau Jersey ketika itu terkenal dengan kemahiran mereka dalam mengait bahan seperti pakaian sejuk berbulu.

Pakaian sejuk yang dihasilkan mempunyai tenunan yang rapat dan mampu mengekalkan kehangatan pemakainya.

Menurut Hyve Sports, jersi pada mulanya digunakan sebagai pakaian lapisan dalam oleh pelaut-pelaut luar bandar.

Namun, kemudian, pakaian tersebut berkembang menjadi pakaian harian yang boleh dipakai sepanjang masa, terutamanya pada musim sejuk.

Kemudian, penggunaan jersi tersebar ke seluruh United Kingdom dan Eropah Utara apabila pedagang-pedagang mula berinteraksi dengan masyarakat tempatan pada akhir abad ke-17 dan awal abad ke-18.

Pada tahun 1850-an, istilah jersi akhirnya menjadi sinonim dengan ‘sweater’ dan penggunaannya merebak ke negara-negara jauh seperti Amerika Syarikat.

Pada masa ini, jersi masih merupakan pakaian yang tebal dan tahan lasak.

Apabila bola sepak Amerika mula popular, jersi dianggap sesuai untuk sukan tersebut.

Sifat permainan yang kasar dan lasak ketika itu memerlukan pakaian yang tebal dan tahan lasak, maka itulah jersi dipilih.

Selepas itu, sukan-sukan lain seperti hoki, golf, dan lain-lain mengikuti contoh bola sepak Amerika.

Pada separuh akhir abad ke-19, istilah jersi menjadi sinonim dengan uniform sukan, dan tidak lagi merujuk kepada pakaian sejuk seperti pada abad ke-18.

Walaupun seiring berlalunya masa, terdapat inovasi dalam fabrik yang diperbuat daripada poliester dan bahan-bahan baru lain, pakaian-pakaian sukan ini tetap dikenali sebagai jersi dan istilah tersebut terus digunakan hingga ke hari ini, walaupun terdapat penambahbaikan yang berterusan daripada syarikat-syarikat pembuat pakaian sukan.

BACA: “Sebelah kaki aku lemah tak terasa bila berdiri, nak kata strok bukan, aku rasa ini bala yang aku terima bila jaja keburukan isteri”