Seluar jeans sememangnya menjadi pakaian yang popular diperagakan oleh kaum lelaki mahupun wanita.
Apabila sebut je jeans, bermacam-macam jenis keluar dari mulut orang.
Jenis skinny la, straight cut la, slim fit la dan macam-macam lagi.
Ni belum sebut lagi pasal warna, dah boleh bentang karpet buka bundle nanti.
Diperbuat daripada kain jenis denim dan mempunyai kocek pada bahagian tepi dan belakang, seluar jeans sangat popular diperagakan, lebih-lebih lagi ketika ada acara santai atau majlis-majlis tidak formal.
Tetapi, mesti ramai tertanya-tanyakan apa benda kancing logam kecil dekat poket tu? Hanya sebagai hiasan atau memang ada fungsinya yang tidak diketahui? Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, mari kita rungkaikannya.
Kredit : Denim Hunters
Selalunya, kalau kita beli seluar jeans, mesti akan jumpa kancing comel tu di poket seluar. Sebenarnya, ia bukanlah aksesori semata-mata, tetapi ada kegunaannya.
Digelar sebagai stud perak atau tembaga bulat, iaitu ‘rivet’ atau paku poket. Kebiasaannya, kita akan selalu nampak rivet itu melekat pada hujung poket seluar jeans.
Menurut Daily Star, ia merupakan ciri penting bagi seluar jeans dan telah dicipta sejak tahun 1873 oleh Jacob Davis dan Levi Strauss. pengasas syarikat jeans global Levi Strauss & Co.
Untuk pengetahuan semua, rivet telah ditambahkan pada seluar jeans untuk menyatukan tempat yang berkemungkinan akan terurai. Sebagai contoh, poket.
Menurut laman web rasmi Levi Strauss & Co, kedua-dua pengasas itu menerima paten daripada Amerika Syarikat.
“Dengan menambahkan rivet logam pada seluar kerja, yang akan dikenali sebagai seluar jeans biru, mereka telah mencipta seluar yang lebih kuat untuk dipakai lelaki semasa bekerja,” memetik daripada laman web Levi Strauss & Co.
Jadi, kegunaan rivet pada seluar itu adalah dijadikan sebagai pengikat supaya apabila kita pakai seluar jeans, ia akan lebih kukuh dan tidak melorot ke bawah.