Adun AMANAH serah laptop dan sim kad internet untuk bantu pelajar

Adun AMANAH serah laptop dan sim kad internet untuk bantu pelajar

Apa jua kekangan yang wujud ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia sedikit pun tidak menyekat agenda peduli rakyat yang telah lama menjadi rutin bagi Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Faiz Fadzil.

Malah Faiz telah mengambil inisiatif dengan segera turun padang setelah mendengar pelbagai keluhan dan kesukaran golongan yang memerlukan khususnya pelajar dari golongan asnaf yang sedang belajar di institusi pengajian tinggi (IPT).

Menurut beliau, laptop, simkad pra-bayar khas juga disumbangkan kepada pelajar-pelajar terbabit bagi meningkatkan penerimaan liputan internet.

“Penyerahan laptop amat penting khususnya kepada pelajar-pelajar yang memerlukan kerana ia dapat membantu mereka meningkatkan pengajian dengan lebih berkesan dan mudah, lebih-lebih lagi dalam norma baharu secara atas talian ketika ini.

” Laptop serta jaringan internet adalah suatu keperluan yang harus disediakan secara efisien kerana pembelajaran secara atas talian amat memerlukan penyediaan dan peningkatan tersebut setelah kaedah pendidikan dilaksanakan secara online tatkala ini.

” Tidak dapat dinafikan hanya dengan pendidikan dan pelajaran sahaja mampu memberi perubahan dan ilmu tanpa membiarkan mana-mana golongan dalam masyarakat tercicir tanpa pembelaan yang sewajarnya,” ujar beliau.

Sehubungan itu tegas Faiz, sebagai Adun AMANAH yang telah diberi amanah dan tanggunggungjawab beliau akan terus berusaha bagi memastikan misi untuk melahirkan lebih ramai cerdik pandai serta pendidikan yang terbaik semaksima mungkin bagi kawasan Dun Permatang Pasir menjadi realiti dan akan terus menjadi prioriti.

Sebelum itu beliau juga menyerahkan laptop kepada empat pelajar yang merupakan anak-anak dalam Dun Permatang Pasir yang telah berjaya mengarang esei terbaik ‘Kenapa Saya Layak Jadi Wakil Rakyat Permatang Pasir’. – MD