ADUN dan Exco Kelantan naik gaji hingga RM5000, penjawat awam dapat ‘one-off’ RM600

ADUN dan Exco Kelantan naik gaji hingga RM5000, penjawat awam dapat ‘one-off’ RM600

Hari ini Dewan Undangan Negeri Kelantan sebulat suara bersetuju untuk luluskan usul kenaikan gaji ADUN dan Exco Kelantan.

Tidak ada bantahan. Tidak ada perbahasan hangat dari mana-mana ADUN Kelantan. Semua setuju sebulat suara.

Inilah yang saya tegur apabila cadangan menaikkan gaji ADUN dan Exco Kelantan dibuat. Saya fikir situasi negara hari ini amat berat. Rakyat sedang susah dan lapar. Ramai dibuang kerja. Ada lagi ramai yang dipotong gaji. Orang meniaga pun untung makin susut.

Ada banyak lagi syarikat tempatan yang gulung tikar.

Di Sabah misalnya, golongan petani dan peruncit di Kundasang tidak lagi boleh berniaga macam biasa. Peniaga kecil dan sederhana di kawasan Kuala Lumpur dan Muar pun mengeluh dan mengadu perkara yang sama.

Dalam ucapan Perbahasan Belanjawan Ketua Pembangkang DS Anwar Ibrahim hari ini juga ada ulas secara terperinci bahawa isu ekonomi dan COVID-19 adalah isu paling utama yang harus sama-sama diperjuangkan dengan serius dan tegas.

Tetapi, di Kelantan ceritanya lain.

Awal tahun 2020 mereka membeli kereta Mercedes Benz untuk kegunaan kerajaan negeri. Alasannya, isu keselamatan dan kereta sedia ada sudah lama dipakai.

Belanjawan 2021 Kerajaan Kelantan juga diunjurkan defisit lebih tinggi pada RM66.02 juta.

Saya juga masih ingat keputusan Kementerian Kewangan pada 14 Oktober 2019 sudah meluluskan permohonan pendahuluan daripada kerajaan Kelantan berjumlah RM100 juta untuk membiayai sebahagian perbelanjaan negeri itu. Ini termasuklah untuk membayar gaji anggota pentadbiran kerajaan negeri sehingga penghujung 2019.

Jadi, dalam suasana ekonomi negeri yang suram dan tidak bagus, adakah keputusan untuk meluluskan usul kenaikan gaji ADUN dan Exco Kelantan ini betul dan baik untuk rakyat Kelantan? Lebih-lebih lagi wabak pandemik COVID-19 masih lagi kritikal di dalam negara ini.

Tetapi, saya dengar Kerajaan Kelantan beri RM600 kepada 6,854 penjawat awam. Cuma bantuan one-off, bukan naikkan gaji.

Mungkin kalau rakyat Kelantan buat undian untuk naikkan gaji semua 6,854 penjawat awam negeri Kelantan (seperti yang dibuat ADUN Kelantan untuk gaji mereka), saya pasti semua akan setuju sebulat suara tanpa sebarang bantahan.

Berita penuh :