Agihan bantuan pusat zakat berjalan lancar, cuma kurang promosi

Agihan bantuan pusat zakat berjalan lancar, cuma kurang promosi

Kelemahan mempromosi agihan zakat menjadi faktor utama wujud stigma pusat zakat gagal atau lewat menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan.

Berbanding pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu tertentu, mereka dilihat lebih ke hadapan dalam isu kemanusiaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Ahmad Shukri Yusoff, berkata hakikatnya agensi zakat seluruh negara tidak ketinggalan dalam memberi bantuan kepada golongan asnaf.

Bagaimanapun, katanya, stigma atau salah faham masyarakat wujud kerana institusi zakat lemah dalam mempromosi atau memperagakan produk bantuan mereka.

“Sebagai contoh, MAIWP sendiri mengagihkan zakat kira-kira RM700 juta setiap tahun, cuma mungkin masyarakat hanya lihat tokoh tertentu yang bergerak ke depan bersama NGO mereka.

“Kita menghormati tokoh atau NGO ini kerana kita menggalakkan semua pihak membantu antara satu sama lain, cuma masyarakat kena faham bantuan NGO biasanya bersifat ‘one-off’ (sekali beri).

“Contohnya, pergi jumpa satu keluarga di Kelantan dan bagi RM40,000, selesai. Tapi agensi zakat ada bantuan one-off, dan ada juga berbentuk bulanan, sama ada wang saku, penjagaan kesihatan, pendidikan anak-anak dan sebagainya.

“Cuma, kelemahan agensi zakat ialah kita tidak uar-uarkan agihan ini supaya masyarakat nampak,” katanya ketika ditemui BH di Wisma PPZ di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kelewatan pusat zakat menghulurkan bantuan berbanding NGO atau pendakwah bebas, hingga mengundang kejian masyarakat.

Ahmad Shukri turut menggesa golongan profesional yang berjaya hasil bantuan zakat, tampil mempertahankan institusi itu yang dilempar pelbagai tuduhan akibat stigma atau salah faham tidak berasas.

“Ramai yang berjaya hari ini, termasuk golongan profesional seperti doktor dan jurutera, sebelum ini menyambung pengajian menggunakan wang zakat negeri masing-masing.

“Kita harap golongan profesional yang berjaya hasil bantuan zakat ini untuk tampil ke depan membantu mempertahankan institusi zakat. Tak sesuai jika mereka berjaya, tetapi tidak sedikit pun mempertahankan institusi zakat,” katanya.

Ahmad Shukri percaya, jika agensi zakat setiap negeri bijak mempromosi agihan yang dilakukan, stigma masyarakat terhadap institusi itu yang dilihat kebelakang berbanding NGO, akan diatasi.

Katanya, perlu ada hubungan baik di antara NGO, insitusi zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun NGO ada fokus tersendiri.

“Misalnya, satu NGO ini fokus pada bantuan pakej makanan dan mereka buat setiap hari, jadi orang nampaklah.

“Bantuan institusi zakat pula pelbagai, sama ada kesihatan, bakul rezeki, pendidikan. Apabila tidak fokus, maka orang tidak nampak.

“Saya percaya kalau pihak berkuasa zakat pandai mempromosi agihan yang mereka buat, stigma masyarakat mengenai isu zakat akan berkurangan,” katanya.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/02/785754/institusi-zakat-lemah-promosi-agihan