Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka memanggil semua ketua parti politik ke Istana Negara pada jam 10.30 pagi.
Agong pada Selasa dan Rabu lalu menemubual semua anggota parlimen bagi mengetahui calon perdana menteri pilihan mereka, namun mendapati tiada mana-mana pihak memiliki majoriti yang jelas.
Anggota Parlimen BN dan PAS memaklumkan kepada Yang Di-Pertuan Agong bahawa mereka mahukan Dewan Rakyat dibubarkan manakala pemimpin Pakatan Harapan memutuskan untuk mencalonkan Anggota Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri selepas bekas pemimpin mereka, Dr Mahathir Mohamad enggan memulihkan kerajaan PH.
GPS, Warisan dan Bersatu dipercayai menamakan Mahathir, yang merupakan pengerusi Bersatu, sebagai perdana menteri.
Bagaimanapun, pendirian parti-parti politik ini berubah lagi dalam masa beberapa hari.
Sehingga malam tadi, BN, PAS dan Bersatu kini menyokong Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri. Pendirian PH tetap tidak berubah buat masa sekarang dan siapa yang akan disokong GPS dan Warisan masih samar.
Peralihan sokongan kepada Muhyiddin adalah kerana Mahathir berkeras untuk tidak akan bekerjasama dengan Umno.