Ahli politik langgar SOP, tindakan tegas perlu diambil

Ahli politik langgar SOP, tindakan tegas perlu diambil

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) membidas ahli politik dan penyokong yang tidak mengikut SOP Covid-19 seperti tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal ketika berkempen di Sabah.

Presiden MMA Dr N Ganabaskaran berkata, pihaknya amat prihatin terhadap peningkatan kes positif Covid-19 di Sabah dengan pertambahan kluster baharu di Tongod, Sandakan, menjadikan jumlah keseluruhan 6 di negeri itu.

“Lebih membimbangkan adalah melihat SOP, secara terbuka disiarkan dalam liputan berita mengenai perjumpaan pimpinan politik. Pemimpin politik harus menunjukkan contoh yang baik dalam mengutamakan kesihatan masyarakat di sana.

“Sekiranya pengabaian SOP seperti itu berlanjutan, kes akan meningkat lebih banyak dan merebak ke seluruh negeri.

“Sebelum kita mengetahuinya, pihak berwajib mungkin tidak mempunyai pilihan selain mengenakan perintah berkurung di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri mesti memastikan keadaan pesakit Covid-19 hospital tidak meningkat, walaupun keadaan ketika ini di bawah kawalan.

Katanya, keadaan boleh dengan mudah berubah dan menjadi mimpi buruk bagi pekerja kesihatan sekiranya kes meningkat secara mendadak.

“MMA mendesak pihak berwajib lebih tegas dalam memperketatkan SOP, termasuk pada ahli politik untuk mematuhi prosedur sepenuhnya.

“Kami juga prihatin terhadap orang Sabah yang pulang ke kampung halaman dari negeri lain. MMA yakin kuarantin mungkin diperlukan ketika mereka kembali dari Sabah,” katanya.

Katanya, kuarantin adalah langkah berjaga-jaga sebagai pencegahan.

Covid-19 mencatatkan 82 kes baharu hari ini dengan 60 daripadanya di Sabah, menjadikan negeri itu kekal merekodkan kes harian paling tinggi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/09/22/persatuan-perubatan-bidas-ahli-politik-langgar-sop-covid-19-di-sabah/