Akibat produk Malaysia tak laku, kerajaan cadang ‘pau’ China dan Indonesia

Oleh ZULAIKHA ABBAS

Kerajaan Malaysia telah memulakan siasatan mengenai duti anti-lambakan terhadap import produk Polyethylene Terephthalate (PET) yang berasal atau dieksport dari Republik Rakyat China dan Republik Indonesia.

Siasatan ini dijalankan mengikut peruntukan dalam Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993

serta Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994, berdasarkan petisyen yang dikemukakan oleh Recron (M) Sdn. Bhd.

Petisyen ini mewakili industri tempatan yang menghasilkan produk serupa.

Pempetisyen mendakwa bahawa produk PET dari China dan Indonesia diimport ke Malaysia pada harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran domestik di negara-negara tersebut.

Akibat produk Malaysia tak laku, kerajaan cadang 'pau' China dan Indonesia

Keadaan ini dikatakan telah memberikan impak negatif yang ketara kepada industri tempatan di Malaysia.

Berdasarkan penilaian awal yang dilakukan di bawah seksyen 23 Akta tersebut, kerajaan mendapati terdapat bukti yang mencukupi untuk meneruskan siasatan berkenaan dengan import produk dari kedua-dua negara berkenaan.

Sehubungan itu, kerajaan telah memutuskan untuk mengenakan duti anti-lambakan sementara terhadap produk PET ini dalam bentuk jaminan bank. Duti yang dikenakan adalah antara 6.33% hingga 37.44%, bertujuan untuk mengelakkan kemudaratan lebih lanjut kepada industri tempatan.

Duti sementara ini akan berkuatkuasa mulai 7 Januari 2025 dan akan berlangsung selama maksimum 120 hari. Penentuan muktamad mengenai perkara ini dijangka dibuat sebelum 6 Mei 2025. Pihak berkepentingan, termasuk pengimport, pengeluar, pengeksport asing, dan persatuan yang berkaitan, dijemput untuk memberi ulasan atau pandangan terhadap laporan penentuan awal ini kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebelum 17 Januari 2025, jam 5.30 petang (waktu Malaysia).

Salinan laporan Penentuan Awal yang tidak sulit boleh diperoleh dengan mengemukakan permohonan bertulis kepada MITI di alamat berikut:

Pengarah Seksyen Amalan Perdagangan

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI)

Aras 9, Menara MITI

No. 7, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah

50480 Kuala Lumpur, MALAYSIA

Telefon: (603) 6208 4632 / 4634 / 4636
Faks: (603) 6211 4429
E-mel: [email protected]

BACA: Lepas confirm tak pening kepala bila nak melancong, ini cara mudah daftar MyBorderPass